Pages

IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL

.

SELAMAT DATANG

Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.
Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.
Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.
Teruslah bertahan, hingga kefuturan itu futur menyertaimu.
Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu.”
( allahyarham KH Rahmat Abdullah )

30 Nov 2013

Sahabat jahiliyyah




Semasa kami berada di dalam kereta, dalam perjalanan ziarah akhwat, saya berbual dengan seorang akhwat ini yang agak akrab dengan seorang akhwat lain. Kerapatan mereka mengalahkan seorang kakak dan adiknya. Kira rapat sangat la. Maaf, tidak boleh disamakan hubungan persahabatan dan hubungan adik beradik kerana ia adalah suatu hubungan yang berbeza.

Maka saya bertanya kepada dia,

" Enti sayang dia kerana Allah?"
" Entahlah.."

" Ukhwah antunna kerana Allah?"
" ........" 

" Habis, kalau bukan kerana Allah, kerana apa?"
".........."

Senyap. Saya tahu, mungkin dia agak ragu dengan persahabatan yang terjalin antara dia dengan akhwat itu. Dan saya hanya bersangka baik. Mungkin mereka masih lagi dalam proses membina persahabatan mereka kearah rangka mencari keredhaanNYa.

Sahabat imaniyah

Bila kita merasai bersahabat kerana Allah, kita akan mampu membezakan bersahabat kerana Allah atau bersahabat kerana selain Allah seperti untuk memanfaatkan hartanya, kenderaannya, peneman bila berseorangan dan banyak lagi.

Jalan tarbiyah ini telah mengajarkan kita untuk bersahabat kerana Allah. Perkataan seperti "SSAKA", "Uhibbukifillah" dan "Sayang enti" kerap kali diucap di dalam mesej dan perbualan tanda kita memang mencintai akhwat kerana Allah. Saya yakin, sekecil atau sebesar manapun masalah akhwat seperti demam, masalah akademik, masalah mad'u atau parents tetap meraka merasakan merekalah bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. Sehingga terpaksa dibincang dalam liqo atau musykilah demi untuk menyelesaikan masalah tersebut. 

Siapa lagi yang akan bersikap concern sebegitu melainkan akhwat kita.. ye, insan yang bergelar akhwat.

Sahabat Jahiliyyah

Tidak lupa juga dalam jalan tarbiyah ini, akan muncul sahabat jahiliyyah. Ini bukan satu tuduhan. Tapi inilah realiti dan bukanlah dari kalangan orang biasa, tapi di kalangan akhwat sendiri. 

Bila terlalu banyak masa dihabiskan bersama, terlalu banyak isu yang akan muncul dalam perbualan mereka. Bukan yang dibualkan itu tentang movie, lagu, lelaki handsome atau macho, tapi berkisar tentang ketidakpuashatian dalam syuro atau liqo. Mereka melakukan syuro di luar syuro atau liqo di luar liqo. Mulalah mengumpat akhwat sana sini. Mempersolkan keputusan yang dirasakan tidak betul solusinya dan pengarahan yang tidak rasional. 

Bila terlalu banyak masa dihabiskan bersama, terlalu banyak juga buang masanya. Terlalu banyak keinginan-keinginan yang ingin dilakukan bersama. Seperti pergi ke tempat-tempat yang tidak perlu atau bergayut di telefon terlalu lama sehingga mengabaikan hak-hak akhwat atau mad'u lain yang perlu diberikan hak mereka. Malah yang lebih teruk, hak nya kepada Allah juga diabaikan. Mutabaah amalnya tidak terjaga. 

Bila terlalu banyak masa dihabiskan bersama, tidak boleh renggang walau sesaat. Tidak boleh jika akhwat rapat bersama akhwat/orang lain. Dihalangnya. Diugutnya. Dijadikan topik pergaduhan sehingga rajuknya lama. Tak bertegur sapanya lama hanya atas alasan perkara yang remeh temeh. Air matanya banyak berhabis untuk sahabat yang dicintainya.

Bila terlalu banyak masa dihabiskan bersama, mulalah syaitan menggoda dengan satu titik kelemahan mereka iaitu teringin disayangi dan menyayangi. Teringin dibelai dan bermanja-manja. Sehingga melakukan perbuatan terkutuk sepertimana yang dikatakan Ibn Qayyim dalam buku virus-virus ukhwah iaitu perbuatan kaum nabi Luth. Naudzubillahi minzalik. Sepertimana kata Syaikh Muhammad Shalih al-Munajjid hafizhahullah iaitu:

"Di antara bentuk-bentuk hubungan tersebut adalah hubungan maksiat di mana dua orang itu terikat hubungan maksiat sehingga keduanya menyaksikan hal-hal yang haram, menikmatinya, dan melakukannya secara bersama-sama."

Sayang jadi benci teramat

“Cintailah kekasihmu sesederhana mungkin, siapa tahu ia menjadi musuhmu pada suatu saat nanti. Dan bencilah musuhmu sesederhana mungkin, siapa tahu ia menjadi sahabat dekatmu pada suatu saat nanti.” (HR Tarmidzi)

Hayatilah hadith ini sebenar-benarnya. Percayalah akhwat. Sahabat jahiliyyah yang mungkin dulu kamu teramat sayang, tidak boleh berpisah, tidak boleh ditinggalkan, selalu menangis kerananya, berhabis duit kerananya akan menjadi orang yang kamu benci satu hari nanti. 

Mungkin di dunia. Mungkin juga di akhirat. Dan mungkin juga kedua-duanya sekali. Sepertimana firman Allah,

"Teman karib pada hari itu (hari akhirat) saling bermusuhan kecuali mereka yang bertakwa." (Surah , Az-Zukhruf, 43: 67)

Bersahabat satu nikmat

Sahabat memang satu nikmat yang indah. Sangat indah. Seperti ungkapan Umar r.a :

"Perjumpaan dengan kawan menghapus duka."

Tapi bila tujuannya untuk jahiliyyah dan berlebih-lebihan, maka, ia menjadi satu kenangan yang paling buruk dalam sejarah hidup. Yang takkan dilupakan. Yang akan menjadi kenangan pahit sampai bila-bila.

Jika kita ini ditanya bersahabat atas dasar apa, maka, semestinya, ada 2 pilihan sahaja yang kita boleh pilih..

Jahiliyyah atau imaniyah.. kerana Allah atau kerana dunia dan nafsu.

Semoga Allah sentiasa menjadi "guard" kita dalam kita bersahabat. Kita bersahabat kerana Allah bukan ber"sama" Allah.
InshaAllah..

Sumber rujukan: buku Virus-virus Ukhwah karya Abu Ashim Hisyam.

17 Okt 2013

Hilang




Halaqah yang sepatutnya bermula pada pukul 10 malam tetap diteruskan walaupun masih menunggu seorang daripada mereka yang masih tidak hadir.

Akhwat dan murobbiyahnya masih setia menunggu.
Seorang daripada mereka membuat panggilan, tapi tidak juga disambut.
Mesej pula tidak dibalas.
Risau. Adakah sesuatu yang tidak diingini telah berlaku?

Sebelum bertolak dengan motorsikalnya dari rumah, dia telah sedia memaklumkan bahawa akan bertolak sebentar lagi. Namun, masa yang ditunggu agak lama dan mustahil untuk mengatakan dia masih dalam perjalanan.

Masing-masing tidak sabar untuk bertanyakan apa yang berlaku apabila dia sampai kelak. Atau sekiranya dia tidak hadir, pasti halaqahmate dan murobbiyahnya akan tidak sabar berjumpanya esok hari untuk bertanyakan apa yang berlaku.

Reunion di syurga?

Kebiasaanya begitulah yang akan berlaku apabila seorang daripada halaqahmate yang ditunggu-tunggu tidak hadir-hadir. Menunggulah murobbiyah dan halaqahmate lain dengan perasaan risau.

Itu apabila halaqah di dunia. 
Bagaimana halaqah di akhirat? Di Syurga yang kita sangat dambakan?
Sepertimana janji Allah, orang-orang beriman itu akan bersama temannya juga yang beriman.

" Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul (Muhammad), maka mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah, iaitu para Nabi, para pencinta kebenaran, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh. Mereka itulah teman yang sebaiknya." (Surah An-Nisa' (4): 69)

Jadi, apa yang akan terjadi sekiranya salah seorang ikhwah atau akhwat yang bergerak kerja bersama kita, berhalaqah bersama, berdaurah bersama, mabit bersama dan bersama-sama dalam jalan menuju Allah akhirnya hilang ketika mana kita berada di syurga?

" Eh, mana akhi XXX ni? Apsal ana tak nampak dia pun kat syurga ni?"
" Eh, mana ukhti YYY ni? Ana teringin nak jumpa dia. Dialah yang selalu ingatkan ana."

Akan ada satu saat nanti di syurga, kita akan tercari-cari orang-orang yang selalu bersama kita akhirnya tidak dapat di jejaki di syurga. Dimanakah mereka? Hilang?

Kisah di dunia

Bila flashback semula semua amal di dunia, rupanya akhi XXX dan ukhti YYY tidak seperti apa yang disangkakan.



Mungkin jawapan yang akan diberikan nanti adalah,
" Ana main games dan tengok movie korea bila ana seorang kat bilik."
" Ana tengok video porno bila ana takde bersama antunna semua.."
( Semoga dijauhkan)

Maksiat tersembunyi rupanya menjadikan kita tidak dapat reunion di syurga? Sekiranya kami ikhwah akhwat boleh menolong antum. Apakah daya, penyesalan pada hari ini tidak berguna sepertimana firman Allah:

" Takutlah kamu pada hari ketika tidak seorang pun yang dapat membela orang lain. Tebusan tidak diterima, bantuan tidak berguna baginya dan mereka tidak akan ditolong." (Surah Al-Baqarah (2): 123)

Kesimpulan: Bertakwalah

Bertakwalah pada Allah dimanapun kamu berada.
Betapa sedihnya yang teramat sangat nanti sekiranya, kita tidak dapat ber'renuion' bersama ikhwah dan akhwat di syurga hanya kerana kedegilan kita dalam melakukan maskiat pada Allah sedangkan di hadapan orang lain kita begitu berlainan sekali.

"Ya Allah, jauhkanlah kami daripada sifat munafik. Kami nak reunion bersama ikhwah akhwat di syurga..! Kami tak nak jadi golongan yang HILANG tu.."


* Nota ini tidak lain tidak untuk peringatan diri sendiri terutamanya. Semoga bermanfaat.

10 Jul 2013

Jagalah Allah, Allah akan menjagamu



Ogos 2012



Azan ini menandakan telah masuk waktu solat bagi kawasan Kuala Lumpur dan sekitarnya.

Allahuakbar, Allahuakbar...

Seusai azan, DJ ikim.fm terus memasang ayat-ayat Al-Quran. Itulah untungnya berjaulah dengan orang-orang soleh. Susah untuk lagho. Dulu, mungkin top radio kita adalah hitz.fm, hot.fm atau era.fm. tapi, Alhamdulillah setelah ditarbiyah, agak janggal untuk mendengarnya. 

" Eh, dah masuk waktu maghrib la, jom solat di surau Sungai Telor." ucap Kak Ain yang sudah biasa dengan surau tersebut jika mereka melalui jalan Kulai sambil mendukung Naufal.

Jam menunjukkan 720 malam. Perjalanan ke surau mengambil masa 10 minit lagi. Aku hanya duduk memandu sambil mendengarkan ayat suci Al-quran yang diputarkan di radio. Izzah yang duduk di belakang asyik memerhati ke luar tingkap kereta sambil memandang ke langit. Apa yang difikirkan aku tidak tahu. Harapnya merenung kebesaran Allah.

Solat maghrib

Apabila sampai, aku terpaksa menjaga Naufal dahulu sementara mereka berdua mengambil wudhu'. Naufal adalah anak Kak Ain. Umurnya akan genap 2 tahun apabila memasuki bulan September nanti. Alhamdulillah, sepanjang dia membesar hidupnya selalu dikelilingi akhawat. Semoga satu hari nanti, dia menjadi pejuang yang menegakkan agama seperti uminya dan akhawat juga.

Seusai aku mengambil wudhu', Kak Ain dan Izzah telah pun solat. Kebiasaannya, kami memang akan solat berjemaah. Sekiranya aku berhenti di surau, masjid atau R&R, sukar aku  lihat untuk orang perempuan membuat saf berjemaah sendiri kerana takutkan 2 jemaah dalam satu tempat. Padahal, aku pernah sahaja bertanya pada ustaz sendiri yang mengatakan bahagian solat perempuan yang tertutup membuatkan ia dikatakan berasingan daripada jemaah lelaki. Maka, sukar untuk kita lihat atau mengikuti jemaah lelaki di hadapan. Maka, insyaAllah dibolehkan solat berjemaah. Tapi jika untuk jemaah pertama yang memakai microphone, jelas suaranya dan kita tahu gerak gerinya dari awal, insyaAllah teruskan mengikut.

Ketika aku mahu mengangkat takbir, Naufal datang kepadaku dan menarik tudungku. Aku terus berhenti dan melayannya sehinggalah Kak Ain dan Izzah sudah berada di tahiyat akhir. Ketika aku mahu menyambung solat untuk masbuk, Kak Ain yang menjadi imam terus memberi salam.

Ujian

Aku akhirnya terpaksa solat berseorangan sementara mereka terus keluar menuju ke kereta. Seusai solat, aku menuju ke kereta dan ku lihat, asap putih berkepul-kepul daripada exzos kereta dan bonet hadapan. 2 orang lelaki yang melalui keretaku turut berhenti bertanyakan apa yang berlaku. Maka, aku segera membuka pintu dan bertanyakan pada Kak Ain apa dah jadi pada kereta. Kak Ain dan Izzah masing-masing tidak tahu apa yang berlaku di luar. Beberapa orang lelaki yang lain turut meluru ke keretaku. Mereka menyuruh Kak Ain membuka bonet hadapan dan melihat kerosakan yang berlaku.

" Eh, ini masalah aircond. Cuba buka aircond."

Tiba-tiba, dalam beberapa saat aircond dibuka, bahagian kiri bonet hadapan meletup sambil mengeluarkan asap putih berkepul-kepul. Allahuakbar. Sekiranya kami meneruskan sahaja perjalanan dan melewatkan waktu solat maghrib, tentu sahaja kereta kami akan meletup di tengah perjalanan. Tapi, Allah Maha Adil dan Maha Menjaga..  

Jagalah Allah

Benarlah dalam kitab hadith 40, hadith yang ke 19, Rasulullah saw bersabda,

Dari Abu Al Abbas Abdullah bin Abbas radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata : Suatu saat aku berada dibelakang Nabi shollallohu ‘alaihi wa sallam, maka beliau bersabda : Wahai budak, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa perkara: Jagalah Allah, niscaya dia akan menjagamu, Jagalah Allah niscaya Dia akan selalu berada dihadapanmu. Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah, jika kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah sesungguhnya jika sebuah umat berkumpul untuk mendatangkan manfaat kepadamu sesuatu, mereka tidak akan dapat memberikan manfaat sedikitpun kecuali apa yang telah Allah tetapkan bagimu, dan jika mereka berkumpul untuk mencelakakanmu dengan sesuatu, niscaya mereka tidak akan mencelakakanmu kecuali kecelakaan yang telah Allah tetapkan bagimu. (HR Tarmidzi)

Ukhti.. ingatlah satu perkara ini, jika kita menjaga hubungan dengan Allah, tidak melakukan maksiat, sentiasa tepat dan cepat dalam melaksanakan perintahnya, maka Allah berjanji untuk menjaga kita. Malah, dalam al-quran sendiri Allah memberi kita pertolongan dan meneguhkan kedudukan kita. InsyaAllah.


26 Mei 2013

Schizophrenia





13 November 2012
Beep beep. satu mesej tertera di smart phone samsung Syamimi.

Satu mesej diterima daripada mad'u yang dia sangat sayangi, Afifah.

" salam kak, maaf kalau apa y ana nk ckp ni guris ati akak. ana dah putuskan ana tak nak join hq lg. maafkan ana. terima ksh ats tnjuk ajr akak slama ni.."

Berderau jantung dia menerima mesej itu.
Terasa begitu sakit hatinya menerima berita yang mengejutkan itu. Air matanya tidak dapat dibendung lagi. Menangislah dia sekuat hati.

Tidak sangka Afifah sanggup berbuat sebegitu. Pada Syamimi, Afifah adalah mad'u yang sangat berpotensi dan dia juga adalah salah seorang mad'u yang tidak pernah ponteng halaqah. Malah, setiap program yang dijalankan dia dapat hadiri dengan baik. 

" Arrrghh,,, kenapa perkara ini berlaku tiba-tiba? Sebelum ini aku dah cukup stress dengan mufaraqah nya semua mad'u aku. sekarang ini dia pula. Kenapa mesti dia?" luah Syamimi dengan suara yang tinggi. 

Roomate nya semua telah ke kelas untuk pagi itu Tinggal dia sahaja terjelopok di tepi katil. Sedih. Mujur kelasnya pada hari itu adalah waktu petang.

*******************
22 Mei 2013
Bangun sahaja Syamimi dari tidur, Maisarah , teman sebiliknya, menarik tangannya membawa ke unit kecemasan HUSM yang jaraknya dalam 100m dari hostel.

" Kenapa ni Maisarah? Kenapa kau bawa aku ke hospital ni? Aku tak sakit pun."

Maisarah tidak menghiraukan pertanyaan itu. Sengaja tidak mahu menjawabnya. Dari jauh, Syamimi nampak Maisarah begitu khusyuk berbincang sesuatu dengan doktor. Kelihatan, doktor hanya menganggukkan kepada tanda setuju dan memahami apa yang cuba disampaikan.

Beberapa orang nurse membawa Syamimi ke tingkat 5. Wad 5U. Wad psiakitrik perempuan.

" Aku tak sakittt laaaaaa.." jerit Syamimi minta dilepaskan. Tangan dan kakinya kuat mahu melepaskan diri dari wad itu.

********************
1 Januari 2013

Maisarah melihat perubahan Syamimi setelah mad'u nya mufaraqah. Apatah lagi, setiap halaqah yang dipegang olehnya gagal.

Sejak beberapa kejadian yang menyayat hati itu berlaku berturut-turut, Maisarah nampak Syamimi kelihatan murung. Dia kelihatan mengurungkan diri sahaja di dalam bilik. Tidak mahu bercampur dengan orang lain.

Walaupun dia pergi ke kelas setelah di paksa dan diheret banyak kali, hanya jasadnya sahaja yang kelihatan. Dia hanya termenung sahaja di kelas. Kadang-kadang tertawa dan menangis tiba-tiba. Dia juga kerap bercakap sendirian. Bila ditegur, katanya memikirkan apakah kesilapan yang dilakukan dia sewaktu memegang halaqah sehingga gagal dan memikirkan memori-memori indah bersama mad'unya.

Kadang-kadang di bilik, dia kelihatan bercakap sendirian. Isi percakapannya itu adalah tentang pengisian halaqah yang dia sampaikan seolah-olah didepannya itu adalah mad'unya. Lembaga-lembaga hitam yang dikatakan mad'u nya itu sering menyuruh Syamimi menegur dan mencederakan orang-orang sekeliling yg tidak menutup aurat dan melanggar suruhan Allah.

Setiap hari selasa malam, selepas maghrib, pasti dia akan ke surau. Katanya mahu buat halaqah padahal sudah lama dia tidak mempunyai mad'u. Dia sepertinya duduk berseorangan seolah-olah di dalam satu bulatan. Rancak memberi pengisian. Pada pandangannya, ramai orang disekelilingnya mendengar pengisian walaupun hakikatnya tiada orang pun di sekeilingnya.

Kejadian ini berlarutan selama beberapa bulan.

Pada malam kejadian dia dimasukkan ke hospital, dia tiba-tiba membawa sebatang kayu hoki untuk memukul pelajar-pelajar yang tidak bertudung dan menutup aurat. Dipaksanya ikut halaqah. Dipaksanya tutup aurat. Katanya, ada suara menyuruhnya memukul pelajar-pelajar yang tidak menutup aurat itu kerana tidak takut azab Allah.

Tindakan agresifnya itu menyebabkan Maisarah membawanya ke jabatan kecemasan.

***********************

"Syamimi.. bangun. bangun lah syamimi.." Maisarah menggerak-gerakkan kaki Syamimi.

" Keluarkan aku dari wad. tolong keluarkan aku.."

" Apa ni syamimi. Kau dekat bilik ni. bukan dekat wad."

Syamimi tersedar. 
Dia beristighfar. Aku bermimpi rupanya.

" Ya Allah, mata sampai lebam ni kenapa? Dah la tidur sampai tengah hari.. apa yang terjadi ni? 

Syamimi beristighfar. Dikesatnya air mata yang kering. Dia berdoa:

" Ya Allah, jauhilah diriku daripada apa yang terjadi dalam mimpi tadi.."

### kepada mutorobiyah sekalian, sayangilah murobbiyah antunna yang banyak berkorban dan berbuat untuk antunna.. hargailah mereka dan jadilah binaan yang lebih baik daripada murobbiyahnya sendiri 

### kepada para murobbiyah, seandainya kita berbuat kerana Allah, kita takkan terlalu kecewa apabila gagal dalam membina kerana kita yakin, Allah akan memberikan mad'u lain yang lebih baik daripada sebelum ini. 


29 Apr 2013

Kakakku menikah







" Kak ti, akak jangan nikah boleh tak?"
" Kenapa?"
" Izz tak nak kehilangan akak."
" Akak tak meninggal pun. Akak menikah je."
" Yela, tapi kalau akak nikah mesti akak akan abaikan izz."

Aku termenung. Aku tahu, adik aku begitu risau jika saatnya untuk aku menikah tiba.
Dulu, semasa dia bermimpi aku menikah, bangun sahaja dari tidur terus dia menangis kerana takut kehilangan aku.

Hubungan aku dengan izz sangat rapat. Aku tahu, agak sukar bagi dia untuk menerima kenyataan yang aku akan menikah nanti. Bagaimana aku mahu menjelaskan kepada dia yang aku akan tetap menjadi kakak dan sahabat dia sampai bila-bila.

" Izz, akak janji yang kita akan terus rapat dan jadi sahabat sampai bila-bila."
" Yeke?"
" Ya..kenapa? tak percaya ke?"
" Tak.. sebab izz selalu tengok bila seorang itu nikah, dia takkan hiraukan dah sekeliling kecuali suami dia. Dia takkan hiraukan dah sahabat or adik dia sendiri."

Aku cuba menghadam apa yang dia cuba sampaikan. Ada benarnya juga.
Aku tidak mahu jadi seperti itu.
Aku tahu, apabila seseorang itu menikah, kepatuhannya dan prioritinya pada suami adalah nombor satu.
Namun, apakah bermakna hubungan yang selama ini terbina rapuh begitu sahaja hanya kerana alasan itu?

" Izz, insyaAllah akak takkan jadi macam itu. Walau macam mana pun, akak akan call or mesej izz seminggu sekali bertanya kabar. Kita akan stil jalan dan gura-gurau macam dulu. Kita kan ada 'diari' kita. yang kita selalu 'update'...."  Aku tersenyum.

Mata izz berkaca-kaca.

" Kalau macam tu, izz percaya pada kakak kesayangan izz."
" InsyaAllah.." aku mengakhiri perbualan.

Kami bersama-sama terus meluncurkan kereta laju ke bandar kerana kami tahu masa untuk bersama mungkin takkan banyak seperti dulu.

"Akak sayang izz" .. gumamku dalam hati.


Semoga pernikahan yang terbina tidak pernah menjejaskan hubungan seorang adik dan kakak dan seorang sahabat dan sahabatnya.

Selamat melangsungkan pernikahan buat Kak Jah pada 4 Mei ini dan Kak Hajar pada 25 Mei ini.


Barakallahu lakuma ( semoga Allah memberkahi kamu berdua) .



20 Apr 2013

Sistem tapisan Allah




Setiap apa yang berlaku dalam hidup kita akan ada sistem tapisan yang dibuat oleh manusia.
Untuk dapat kerja, kita mesti memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Untuk masuk sekolah top, mesti juga memenuhi keputusan yang mengagumkan.
Untuk menjadi doktor, mesti tahu apa yang perlu dipenuhi bagi mendapatkan tawaran kursus kedoktoran.
Hatta, untuk masuk ke USM Kampus Kesihatan Kelantan ini pun, perlunya ada keputusan yang gempak, lulus temuduga dan macam-macam lagi perkara yang perlu kita penuhi hasil dari ujian tapisan yang diwujudkan oleh manusia sendiri.

Sedangkan manusia ada sistem tapisan mereka, Allah juga ada sistem tapisan yang khusus buat setiap hambaNya.

Peringkat tapisan

Bagaimana ya Allah menapis kita?

Salah satu contoh adalah kisah Talut dan Jalut seperti mana yang disebutkan dalam Al-Quran,

Maka ketika Talut membawa bala tenteranya, dia berkata " Allah akan menguji kamu dengan sebuah sungai. Maka, barangsiapa yang meminum airnya, dia bukanlah pengikutku. Dan barangsiapa yang tidak meminumnya, maka dia adalah pengikutku kecuali menciduk seciduk dengan tangan." Tetapi mereka meminumnya kecuali sebahagian kecil diantara mereka. Ketika Talut dan orang-orang beriman bersamnya menyeberangi sungai, mereka berkata," Kami tidak kuat lagi menawan Jalut dan bala tenteranya." dan mereka yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata." Betapa banyak kelompok yang kecil mengalahkan kelompok yang kecil dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar. ( Surah Al Baqarah,2: 249)

Dalam kisah ini, tentera Talut ditapis dalam menghadapi musuh tentera Jalut. Seramai berpuluh ribu orang (ada yang kata 70 ribu) telah menyahut seruan Allah untuk berperang kerana mereka faham dan tahu akan kewajipannya. Tidak semua orang boleh melepasi fasa ini dan mereka telah berjaya kerana adanya kefahaman dan ilmu tentang itu. Ini menujukkan mereka berjaya melepasi sistem penapisan yang pertama.

Namun, tika cuaca yang panas terik dan kering, Allah menguji mereka dengan sungai iaitu mereka tidak dibenarkan minum atau meminum hanya dengan satu cedokan tangan sahaja.  Dalam ujian itu, tentera yang tidak mengikut arahan tersingkir kerana terleka dengan dunia (air), tidak mengikuti arahan Talut sebagai ketua dan merasa tidak mampu meneruskan peperangan kerana keletihan.

Akhirnya, seramai berpuluh ribu yang mengikuti perang, hanya 300 orang sahaja yang tinggal. Tentera yang tinggal itulah tentera yang berkualiti dan memenangkan peperangan.

Tercicir

Betapa ramai golongan yang tercicir dan betapa sedikit golongan yang tinggal. Itulah hakikat hidup ini dan hakikat dalam kita melewati jalan tarbiyah/dakwah.

Hanya orang yang benar-benar kuat, yakin dan bersungguh-sungguh sahaja yang akan terus kekal dan orang yang lemah, malas dan banyak alasan akan tercicir dan seterusnya menjadi golongan yang tertinggal.

Adakah kita mahu menjadi golongan yang banyak dan tercicir itu? Golongan yang sangat rugi, tiada arah tuju, golongan yang meninggalkan peluang mendapat pahala syahid yang sangat besar, golongan yang lebih mengutamakan dunia dan golongan yang tidak mendengar arahan dakwah.

Mahu diganti atau mengganti?

Memang tidak dinafikan, Allah selalu sahaja menguji kita dengan ukhwah, akademik, objek dakwah, fitnah dan banyak lagi. Namun, berfikirlah positif dalam menghadapi setiap ujian itu. Tetapkanlah niat, semangat dan komitmen untuk berbuat. Jangan mudah melayan bisikan-bisikan jahat yang sentiasa menyeru kita hidup dalam kesenangan dunia yang palsu dan sementara.

Teruskanlah memotivasi diri untuk menjadi generasi yang mengganti bukan generasi yang diganti.

" Ingatlah, kamu adalah orang yang diajak untuk menginfakkan hartamu di jalan Allah. Lalu diantara kamu ada yang kikir (kedekut), barangsiapa yang kikir sesungguhnya dia kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah yang Maha Kaya dan kamulah yang memerlukan kurnianya. Dan jika kamu berpaling dari jalan yang benar, Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, mereka tidak akan derhaka seperti kamu. 
(Surah Muhammad, 47:38)

Ujian Allah sebenarnya bertujuan untuk 'menyucikan' barisan dakwah ini kepada orang yang benar-benar layak sahaja.

Semoga kita sentiasa berjaya dan lulus dalam setiap ujian yang Allah beri untuk menjadikan level kita tinggi di sisi Allah.




9 Apr 2013

Bertenanglah




Tatkala ada assignment dan report yang perlu disiapkan dan dihantar minggu depan, pada hujung minggu itulah ada daurah.
Dikala ada peperiksaan dan kuiz minggu depan, pada hujung minggu itulah ada jaulah atau syuro yang perlu dihadiri.

Sampaikan ada yang terdetik dalam hati, kenapalah mesti hujung minggu ini?
Buatlah minggu depan.

Ataupun tidak juga yang merungut dalam hati, murobbiyah aku ni tak faham ke aku ni student yang superb busy ? Dia tak tahu ke aku ni ada exam minggu depan atau dia ni tak nampak ke aku ada banyak assignment dan report?

Hati yang tidak tenteram

Maka, walaupun di dalam otak berpusing-pusing dengan test, report, asssignment, kuiz, hati dengan berat merelakan diri pergi. Tetap sahaja duduk dalam program. Tetap sahaja jaulah dan tetap sahaja melangkah ke syuro.

Dengan berat. Dengan terpaksa. Dengan hati yang tidak tenteram memikirkan assingment yang tidak boleh disiapkan dan nota-nota yang tidak sempat study untuk exam/kuiz.

Hati meronta-ronta dan merintih tidak mahu pergi.
Mulalah meyumpah-nyumpah murobbiyah yang suka dengan sengaja buat hidup susah, akhwat-akhwat yang tak supportive dan program yang sengaja ada hujung minggu itu.

Dengan muka yang sedih, akhirnya diri berjaya duduk dalam lingkungan akhwat dan orang yang menyejukkan hati untuk dipandang. Tetap dalam tawa, hati menangis.

Pasti tenang

Tengah-tengah sedih dan hati meronta-ronta, terdengar satu hadith yang betul-betul menusuk jantung.

" Apabila berkumpul satu kaum di rumah Allah untuk membaca alquran dan mempelajari alquran, maka ketenangan pasti akan turun pada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, malaikat mengelilingi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di kalangan makhluk"
(HR Muslim)

Allah pasti akan turunkan ketenangan pada kita. Pasti...
Usahlah bimbang dengan hal-hal dunia yang kadang-kadang menghimpit dan hadirkanlah hati untuk ikhlas.

Assignment, nota, study, report, masalah dunia insyaAllah akan dipermudahkan Allah, jika kita permudahkan diri kita untuk Allah. 

Jangan risau dalam melapangkan diri untuk majlis mengingati Allah kerana jika kita ingat Allah dalam kelompok banyak, Allah akan ingat kita dalam kelompok yang banyak.

Allah tidak lupakan kita.

Jangan takut dan bersedih

Takut tak dapat siapkan? sedih sebab tak habis study lagi?

" sesungguhnya orang-orang yang berkata, ' Tuhan kami adalah Allah'. dan kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat turun kepada mereka dengan berkata, ' Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati, dan bergembiralah kamu dengan memperoleh syurga yang telah dijanjikan kepadamu."
( Surah Fussilat, 41: 30)

Apa lagi yang hendak ditakutkan. Apa lagi yang hendak disedihkan.

Seusai daurah, seusai program, seusai jaulah dan seusai syuro, teruskan study, terus siapkan report, terus siapkan assignment.

Anda akan nampak betapa Allah permudahkan segala.

InsyaAllah.

" Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai dari sesuatu urusan, tetaplah bekerja keras untuk urusan yang lain." (Al Insyirah, 94: 6-7)


5 Apr 2013

Keberatan dan keterpaksaan



" Ukhti, ana rasa berat nak turun KL untuk program weekend ni.. "
" Kak, saya rasa terpaksa je datang halaqah. boleh tak kalau saya tak datang?"
" Kak, tolong jangan push saya datang mabit (program qiamullail bersama akhawat). Saya tak suka akak "concern" sangat saya tak datang mabit. mabit je pun."

Semua orang merasa berat atau merasa terpaksa dalam menghadirkan hati mereka dalam berbuat kebaikan. Hatta, saya sendiri pun kerap kali merasa berat dalam berbuat itu dan ini.
Tapi, adakah bermakna dengan keberatan dan rasa keterpaksaan itu saya terus menghentikan langkah ini?

Terus berbuat

Itulah yang ramai orang silap faham. Sekiranya dia merasa berat dalam berbuat sesuatu, dia merasakan perlunya untuk dia berhenti. Sedangkan Allah berfirman,

" Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun berat..." ( At-Taubah, 9: 41)

Meskipun berkali-kali kita mentadabbur ayat ini dalam halaqah mahupun daurah (seminar), tetap ada sahaja mereka yang berciciran dalam jalan tarbiyah dan dakwah ini hanya kerana merasa "berat dan terpaksa"

Bukan itu solusinya, malah sepatutnya kita mohon nasihat daripada orang lain terutamanya murobbiyah dan akhawat.

Bukan hanya meletakkan alasan merasa berat atau tidak mampu atau tidak bersedia.
Jika ramai yang berfikiran sebegini, siapakah yang akan membaiki masalah ummat yang semakin parah?

Tiada pengecualian

" Tiada pengecualian untuk mereka yang belajar dan bekerja 'super busy' untuk meninggalkan dakwah."

maka, apakah jawapan yang perlu diberi kepada Allah sekiranya kita tidak melakukan tugas ini?

Hakikatnya, tiada seorang pun terkecuali untuk melakukan tugas ini kerana orang yang mengatakan Allah adalah Tuhan dan Muhammad sebagai pesuruh Allah automatik dia adalah seorang dai'e.

Kisah Huzaifah

Tika dalam perang Khandaq, Rasulullah bertanya sebanyak 3 kali pada para sahabat berkenaan siapakah yang ingin menjadi perisik kepada musuh di seberang. Tiada siapa pun yang menjawab. Ketika itu kaki Rasulullah tersentuh Huzaifah dan kemudian terus dia diarahkan untuk menjadi perisik musuh.

Tika itu, Huzaifah tiada pun menolak atau mengatakan, aku tidak bersedia, aku tak mampu atau aku takut. Tapi, dia terus bertindak menjadi perisik dan menurut buku Fiqh Sirah,  Huzaifah merasa takut kerana bilangan musuh yang ramai. Namun, akhirnya Huzaifah selamat daripada diserang musuh kerana mengikut arahan Rasulullah.

Kesimpulannya, 

Kita semua mungkin akan berbuat dalam keterpaksaan dan keberatan pada awalnya, namun, akan ada kemanisan pada pengakhirannya kerana

" Rehat bagi seorang mukmin adalah di syurga." (Imam Ahmad)

Jangan pernah berhenti melangkah.



18 Mac 2013

Ketenangan yang palsu



"Ketenangan setelah jauh dari segala jalan kebaikan adalah ketenangan yang palsu."

Semakin hari, hidup semakin jauh dengan Allah.
Hari-hari ini diisi dengan keseronokan.
Pawagam, berdating, menghadap facebook, movie dan games.
Kita berasa tenang dengan kehidupan ini.
Merasa sudah cukup tenang.

Segala apa yang kita mahu, mudah sahaja Allah kabulkan.
Mudah sahaja ibu ayah realisasikan.
Handphone blackberrry, camera DSLR, laptop, duit, IPT terkenal, motorsikal, semua itu mudah sahaja kita dapat.
Malah, dengan nikmat yang terlalu banyak itu, hidup kita tidak sedikitpun dekat kepada Allah.
Semakin lalai.
Solat ditinggalkan, al-quran tidak lagi dipegang apatah dilantunkan, rokok menjadi hidangan, kata-kata lucah menjadi perbualan pagi dan petang dan perempuan keliling pinggang sedia untuk dipermainkan.

Apakah ini ketenangan?

Setelah itu,
Allah beri lagi nikmat dan nikmat yang lain.

Isteri yang cantik, anak yang comel, kerja yang bergaji besar, rumah besar, kereta mewah.
Malah, dengan itu lagi, kita semakin tenang.
Merasa tenang dengan nikmat melimpah ruah.
Isteri dan anak dididik dengan acuan jahiliyyah.
Tiada pegangan.
Islam hanya menjadi hiasan di kad pengenalan.
Kita rasakan hidup sudah cukup tenang.
Tiada kesusahan.

kita terlupa, sebenarnya ini hanyalah ketenangan yang palsu.

Ya Allah, berilah hidayah dan taufiq kepada insan-insan yang sentiasa terlupa dengan nikmatMu.


6 Feb 2013

Setia Hujung Nyawa




Duhai tarbiyah,
akan aku setia kepadamu hingga hujung nyawa,
sehingga kematianku menjelma,
aku ku cuba setia,
meskipun aku tidak tahu,
penghujungku bahagia atau derita.

Duhai tarbiyah,
akan ku setia kepadamu hingga hujung nyawa,
kerana hidup terasa manisnya,
susah hendak diungkapkan dengan kata-kata,
mengelakku daripada segala maksiat dan dosa,
yang sentiasa menarikku ke sana,
tanpa jemu dan berputus asa.

Duhai tarbiyah,
akan ku setia kepadamu hingga hujung nyawa,
nikmat iman kurasai sepenuhnya,
mutabaah sentiasa cuba untuk dijaga,
pengisian rohani menjadikan ku bagai mati hidup semula,
dikelilingi akhawat yang sentiasa ceria,
sungguh nikmat yang tak terkira.

Duhai tarbiyah,
aku janji pada diriku sendiri,
apapun terjadi padaku,
aku tetap kan setia,
kerana Allah bagimu padaku tidak sia-sia,
maka tidak akan kulepaskan kau begitu sahaja,
kerana kau tahu,
aku akan setia kepadamu,
SEHINGGA HUJUNG NYAWA..





3 Feb 2013

Rantaian Dosa



Ibn Qayyim berkata,

" Kemaksiatan akan melahirkan kemaksiatan yang sejenisnya. Sebahagiannya akan melahirkan sebahagian yang lain sehingga sangat sukar bagi seorang hamba untuk meninggalkannya. Apabila seorang hamba melakukan dosa, maka, dosa yang lainnya akan berkata, "Lakukanlah aku juga." Apabila dia melakukannya, dosa yang ketiga akan berkata, "Lakukanlah aku juga." Begitulah seterusnya sehingga kerugian akan bertambah dan dosa-dosa semakin bertambah." 
( Al-Jawabul Kafi, 61, Buku Syarah Lengkap Arbain Ruhiyah)

Siti melangkah lemah ke keluar dari kelas. Hari ini kelasnya penuh bermula dari pukul 8 pagi sehinggalah 5 petang. Namun, dia tetap tidak mahu memutuskan niatnya untuk ziarah Fiona, halaqahmate yang sudah beberapa hari tidak bertemu.

"Assalamualaikum.." Siti bersuara setelah mengetuk pintu bilik Fiona.

Pintu dikuak. Kelihatan Fiona sedang membaca Al-Quran.

" Dah habis ke satu juz hari ini?"
"Alhamdulillah Siti, hampir habis 1 juz. Azam baru 2013 untuk lulus mutabaah setiap minggu."
" Bagus, bagus, bagus.." sambil tersengih melihat Fiona.

Di hujung meja Fiona, terdapat handphone Samsung Galaxy yang baru dan berkilat. Lalu Siti menegur,

" Handphone baru ke Fiona? Android ke?"
" Hehe, ya. Handphone lama rosak. Jatuh longkang."
" Oh, bila? Tak tahu pon.."
" Weekend lepas masa jaulah di Universiti Kami Mentarbiyah."

Siti membelek handphone baru Fiona. Cantik. Banyak aplikasi islamik percuma yang boleh di download melalui sistem Android yang terdapat dalam handphone 'canggih' itu.

" Fiona download Angry Bird juga ke? "
" Haah, bosan-bosan main la. Masa dalam bas ke, tengah tunggu bas ke, tengah tunggu lecturer ke.."
" Oh.. eh, game Fruit Ninja pon ada. banyaknya game yang enti download."

Fiona tersipu-sipu malu.
Siti juga membuka folder my video Fiona.

" Wah, ada cerita Warkah Cinta episod 1 sampai 12. Enti tengok ke cerita ni? Movie Tahajud Cinta, Sahara, 7 Petala Cinta pun ada..  dah habis ke tengok?"
" Boleh la. best cerita dia. Erk.. cerita Islamik."
" Menambah iman enti tak?"
" Tak pun. Tapi at least Islamik ok. Daripada tengok movie Korea tu. huhu..  hurmm. Siti, ana ada lagu best ni. nak dengar tak? Lagu baru.. rentak dia macam best dengar."

Fiona terus mengalihkan perbualan mereka kepada lagu. Tidak mahu ditanya banyak mengenai movie yang berada di dalam handphonenya.

" Lagu apa?"
" Lagu one direction-same mistakes, jason marz- i wont give up, lagu owl city-gold dan banyak lagi la.?"
" Ini bukan lagu nasyid ni. Minggu lepas, enti dah bagi ana banyak lagu nasyid. Ana dengar tiada unsur yang boleh menginsafkan. Semuanya lagu yang entahlah tak menusuk di hati. Dan sekarang, enti nak bagi lagu English ni yang penyanyinya orang kafir. Tak nak lah.."
" Ok.. tapi ana dengar lain. Ana hayati lirik dia. menambahkan semangat ana tahu."

Siti termenung sebentar. Memikirkan akhwatnya yang seorang ini. Dia memikirkan bagaimana untuk menasihati Fiona. Siti begitu kenal sangat Fiona, iaitu semenjak mereka sama-sama melangkahkan kaki ke dunia tarbiyah.

Kini, dia melihat kecairan kualiti tarbiyah dalam diri Fiona. 

Fiona mula mendengar lagu-lagu lagha padahal sebelum ini dia meminati nasyid.
Fiona mula menonton movie-movie tidak berfaedah padahal sebelum ini Fiona meminati movie-movie yang kononya islamik.
Fiona mula mendownload game-game yang tidak berfaedah di handphonenya padahal sebelum ini dia meminati game yang dikatakan meningkatkan IQ.

"Fiona, enti tahu tak enti berada dalam tahap bahaya sekarang?"
" Eh, apa yang bahaya tiba-tiba ni?"
" Ana tengok, enti semakin lama semakin dekat dengan benda-benda yang tidak berfaedah. Benda-benda yang merosakkan hati. Ana takut, sampai satu masa nanti, enti berani untuk lakukan sesuatu yang lebih daripada ini semua."
" Maksud Siti?"
" Enti perasan tak sesuatu perubahan berlaku dalam diri enti? Sesuatu yang dikatakan rantaian dosa. Dulu mungkin enti melakukan sesuatu dosa secara kecil-kecilan, tapi akhirnya dosa- -dosa kecil itu mewujudkan rantaian dosa yang lain yang lebih besar dan seterusnya besar dan besar sehingga tidak boleh dibendung lagi. Mungkin apa yang berlaku pada enti sekarang adalah baru 2-3 rantaian sahaja. "

Fiona terdiam. Nampak wajahnya suram. Dia sedaya upaya cuba mengahadam apa yang disampaikan oleh Siti tadi.

" Enti perasan tak, dulu, enti suka tengok cerita Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih . Sekarang ini, semua cerita kalau boleh enti nak tengok. Tak kisah la samada cerita itu membangkitkan iman atau tidak. Dulu juga, enti suka lagu nasyid, dan sekarang semua lagu nasyid dan tak nasyid enti sapu. Lagi satu, dulu juga, enti download game IQ, dan sekarang semua game enti download dan main. Enti nampak tak something pelik kat situ?"

" Hurmm.. nampak. Teruknya ana. huhu.. Jazakillahukhair sebab tegur ana. Ana baru tersedar Siti. Baru nampak kesalahan ana. InsyaAllah ana akan ubah diri ana. Ana tak nampak pun selama ni perkara macam ni. Kadang-kadang blog, FB, youtube pun boleh menimbulkan rantaian dosa juga. Betul cakap enti.. RANTAIAN DOSA"

" InsyaAllah Fiona. Kita sama-sama ubah diri. Saling nasihat menasihati. Kita ini dai'e. Jika kita tidak menjadi berkualiti, bagaimana masyarakat @ mad'u mahu menjadi berkualiti. Ana sayang enti. Ana bukan tak bagi enti dengar nasyid, tapi dengar zikir dan ayat quran kan lebih baik. Ana juga bukan tak bagi enti tengok movie, tapi tengok movie perang/sirah kan lebih baik. Pasal game tu memang tak perlulah.. Nampak sangat kita ni banyak spend masa lebih kepada dunia daripada akhirat tu sendiri.. ok..!"

Mereka saling berpelukan dan bersalaman.

Tidak sia-sia mereka ditarbiyah. Inilah salah satu nikmat tarbiyah, iaitu menasihati dan dinasihati. Seandainya kita melihat akhwat kita hampir terjerumus ke lubang lagho (perkra tidak berfaedah), tariklah tangan mereka secepat mungkin. Ini kerana,

" Satu dosa akan mewujudkan satu rantaian dosa yang lain."



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...