Pages

IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL

.

SELAMAT DATANG

Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.
Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.
Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.
Teruslah bertahan, hingga kefuturan itu futur menyertaimu.
Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu.”
( allahyarham KH Rahmat Abdullah )
Memaparkan catatan dengan label motivasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label motivasi. Papar semua catatan

11 Apr 2016

Aku rindu




Aku rindu zaman aku boleh gencarkan dakwah semaksima mungkin,
Aku rindu zaman aku dan akhwat berdaurah bersama,
Aku rindu zaman manisnya ifthar dan mabit,
Aku rindu zaman jaulah dan bermusafir menjadi rutin mingguan,
Aku rindu saat akhwat jadikan tilawah tika masa terluang,
Aku rindu saat segala kerja dakwah dapat ku selesaikan sebelum tiba waktu due date
nya,
Aku rindu tika saat masa sibukku memikirkan dakwah lebih banyak dari memikirkan dunia,

Aku rindu.

Ya Allah, sampaikanlah rinduku ini..

10 Jul 2013

Jagalah Allah, Allah akan menjagamu



Ogos 2012



Azan ini menandakan telah masuk waktu solat bagi kawasan Kuala Lumpur dan sekitarnya.

Allahuakbar, Allahuakbar...

Seusai azan, DJ ikim.fm terus memasang ayat-ayat Al-Quran. Itulah untungnya berjaulah dengan orang-orang soleh. Susah untuk lagho. Dulu, mungkin top radio kita adalah hitz.fm, hot.fm atau era.fm. tapi, Alhamdulillah setelah ditarbiyah, agak janggal untuk mendengarnya. 

" Eh, dah masuk waktu maghrib la, jom solat di surau Sungai Telor." ucap Kak Ain yang sudah biasa dengan surau tersebut jika mereka melalui jalan Kulai sambil mendukung Naufal.

Jam menunjukkan 720 malam. Perjalanan ke surau mengambil masa 10 minit lagi. Aku hanya duduk memandu sambil mendengarkan ayat suci Al-quran yang diputarkan di radio. Izzah yang duduk di belakang asyik memerhati ke luar tingkap kereta sambil memandang ke langit. Apa yang difikirkan aku tidak tahu. Harapnya merenung kebesaran Allah.

Solat maghrib

Apabila sampai, aku terpaksa menjaga Naufal dahulu sementara mereka berdua mengambil wudhu'. Naufal adalah anak Kak Ain. Umurnya akan genap 2 tahun apabila memasuki bulan September nanti. Alhamdulillah, sepanjang dia membesar hidupnya selalu dikelilingi akhawat. Semoga satu hari nanti, dia menjadi pejuang yang menegakkan agama seperti uminya dan akhawat juga.

Seusai aku mengambil wudhu', Kak Ain dan Izzah telah pun solat. Kebiasaannya, kami memang akan solat berjemaah. Sekiranya aku berhenti di surau, masjid atau R&R, sukar aku  lihat untuk orang perempuan membuat saf berjemaah sendiri kerana takutkan 2 jemaah dalam satu tempat. Padahal, aku pernah sahaja bertanya pada ustaz sendiri yang mengatakan bahagian solat perempuan yang tertutup membuatkan ia dikatakan berasingan daripada jemaah lelaki. Maka, sukar untuk kita lihat atau mengikuti jemaah lelaki di hadapan. Maka, insyaAllah dibolehkan solat berjemaah. Tapi jika untuk jemaah pertama yang memakai microphone, jelas suaranya dan kita tahu gerak gerinya dari awal, insyaAllah teruskan mengikut.

Ketika aku mahu mengangkat takbir, Naufal datang kepadaku dan menarik tudungku. Aku terus berhenti dan melayannya sehinggalah Kak Ain dan Izzah sudah berada di tahiyat akhir. Ketika aku mahu menyambung solat untuk masbuk, Kak Ain yang menjadi imam terus memberi salam.

Ujian

Aku akhirnya terpaksa solat berseorangan sementara mereka terus keluar menuju ke kereta. Seusai solat, aku menuju ke kereta dan ku lihat, asap putih berkepul-kepul daripada exzos kereta dan bonet hadapan. 2 orang lelaki yang melalui keretaku turut berhenti bertanyakan apa yang berlaku. Maka, aku segera membuka pintu dan bertanyakan pada Kak Ain apa dah jadi pada kereta. Kak Ain dan Izzah masing-masing tidak tahu apa yang berlaku di luar. Beberapa orang lelaki yang lain turut meluru ke keretaku. Mereka menyuruh Kak Ain membuka bonet hadapan dan melihat kerosakan yang berlaku.

" Eh, ini masalah aircond. Cuba buka aircond."

Tiba-tiba, dalam beberapa saat aircond dibuka, bahagian kiri bonet hadapan meletup sambil mengeluarkan asap putih berkepul-kepul. Allahuakbar. Sekiranya kami meneruskan sahaja perjalanan dan melewatkan waktu solat maghrib, tentu sahaja kereta kami akan meletup di tengah perjalanan. Tapi, Allah Maha Adil dan Maha Menjaga..  

Jagalah Allah

Benarlah dalam kitab hadith 40, hadith yang ke 19, Rasulullah saw bersabda,

" Dari Abu Al Abbas Abdullah bin Abbas radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata : Suatu saat aku berada dibelakang Nabi shollallohu ‘alaihi wa sallam, maka beliau bersabda : Wahai budak, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa perkara: Jagalah Allah, niscaya dia akan menjagamu, Jagalah Allah niscaya Dia akan selalu berada dihadapanmu. Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah, jika kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah sesungguhnya jika sebuah umat berkumpul untuk mendatangkan manfaat kepadamu sesuatu, mereka tidak akan dapat memberikan manfaat sedikitpun kecuali apa yang telah Allah tetapkan bagimu, dan jika mereka berkumpul untuk mencelakakanmu dengan sesuatu, niscaya mereka tidak akan mencelakakanmu kecuali kecelakaan yang telah Allah tetapkan bagimu. (HR Tarmidzi)

Ukhti.. ingatlah satu perkara ini, jika kita menjaga hubungan dengan Allah, tidak melakukan maksiat, sentiasa tepat dan cepat dalam melaksanakan perintahnya, maka Allah berjanji untuk menjaga kita. Malah, dalam al-quran sendiri Allah memberi kita pertolongan dan meneguhkan kedudukan kita. InsyaAllah.


9 Apr 2013

Bertenanglah




Tatkala ada assignment dan report yang perlu disiapkan dan dihantar minggu depan, pada hujung minggu itulah ada daurah.
Dikala ada peperiksaan dan kuiz minggu depan, pada hujung minggu itulah ada jaulah atau syuro yang perlu dihadiri.

Sampaikan ada yang terdetik dalam hati, kenapalah mesti hujung minggu ini?
Buatlah minggu depan.

Ataupun tidak juga yang merungut dalam hati, murobbiyah aku ni tak faham ke aku ni student yang superb busy ? Dia tak tahu ke aku ni ada exam minggu depan atau dia ni tak nampak ke aku ada banyak assignment dan report?

Hati yang tidak tenteram

Maka, walaupun di dalam otak berpusing-pusing dengan test, report, asssignment, kuiz, hati dengan berat merelakan diri pergi. Tetap sahaja duduk dalam program. Tetap sahaja jaulah dan tetap sahaja melangkah ke syuro.

Dengan berat. Dengan terpaksa. Dengan hati yang tidak tenteram memikirkan assingment yang tidak boleh disiapkan dan nota-nota yang tidak sempat study untuk exam/kuiz.

Hati meronta-ronta dan merintih tidak mahu pergi.
Mulalah meyumpah-nyumpah murobbiyah yang suka dengan sengaja buat hidup susah, akhwat-akhwat yang tak supportive dan program yang sengaja ada hujung minggu itu.

Dengan muka yang sedih, akhirnya diri berjaya duduk dalam lingkungan akhwat dan orang yang menyejukkan hati untuk dipandang. Tetap dalam tawa, hati menangis.

Pasti tenang

Tengah-tengah sedih dan hati meronta-ronta, terdengar satu hadith yang betul-betul menusuk jantung.

" Apabila berkumpul satu kaum di rumah Allah untuk membaca alquran dan mempelajari alquran, maka ketenangan pasti akan turun pada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, malaikat mengelilingi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di kalangan makhluk"
(HR Muslim)

Allah pasti akan turunkan ketenangan pada kita. Pasti...
Usahlah bimbang dengan hal-hal dunia yang kadang-kadang menghimpit dan hadirkanlah hati untuk ikhlas.

Assignment, nota, study, report, masalah dunia insyaAllah akan dipermudahkan Allah, jika kita permudahkan diri kita untuk Allah. 

Jangan risau dalam melapangkan diri untuk majlis mengingati Allah kerana jika kita ingat Allah dalam kelompok banyak, Allah akan ingat kita dalam kelompok yang banyak.

Allah tidak lupakan kita.

Jangan takut dan bersedih

Takut tak dapat siapkan? sedih sebab tak habis study lagi?

" sesungguhnya orang-orang yang berkata, ' Tuhan kami adalah Allah'. dan kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat turun kepada mereka dengan berkata, ' Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati, dan bergembiralah kamu dengan memperoleh syurga yang telah dijanjikan kepadamu."
( Surah Fussilat, 41: 30)

Apa lagi yang hendak ditakutkan. Apa lagi yang hendak disedihkan.

Seusai daurah, seusai program, seusai jaulah dan seusai syuro, teruskan study, terus siapkan report, terus siapkan assignment.

Anda akan nampak betapa Allah permudahkan segala.

InsyaAllah.

" Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai dari sesuatu urusan, tetaplah bekerja keras untuk urusan yang lain." (Al Insyirah, 94: 6-7)


16 Jan 2013

Mahu jadi pakar




Alhamdulillah, pada hari ini berakhir sudah posting orthopedik selama 6 minggu.
Rasa lega dan puas. Begitulah rasa untuk setiap akhir posting.

Saya masih ingat lagi semasa sesi briefing pada minggu pertama untuk kumpulan 4 oleh Dr. Jefri.
Dia telah mengadakan satu sesi perkenalan dan 3 benda yang dia minta adalah perkenalkan nama, asal dan hendak jadi pakar apa.

Maka, seusai habis sesi perkenalan itu, saya dapat simpulkan bahawa kebanyakan rakan-rakan sekumpulan saya, bercita-cita hendak menjadi pakar paedetrik dan hanya seorang sahaja daripada 30 orang pelajar yang mahu menjadi pakar orthopedik.

Jadi, doktor mula memberikan nasihat-nasihatnya sehingga ada satu kata-kata yang saya masih tak dapat saya lupakan sampai sekarang,

" Tolong bercita-cita untuk menjadi pakar orthopedik selama 6 minggu ini sahaja. Maka, kamu akan belajar seperti mana seorang pakar orthopedik belajar.."

Dan sejak hari itu, saya terus menanamkan azam dalam diri untuk menjadi Pakar Orthopedik walaupun hakikatnya saya ingin menjadi pakar sakit puan..

Itulah satu kata-kata yang memotivasikan saya untuk belajar dengan lebih baik walaupun pada mulanya saya tidak 'berapa' minat Orthopedik yang majoritinya diceburi oleh lelaki.

Ingatlah, dalam kehidupan ini seseorang itu akan bertindak mengikut apa yang ada difikirannya.

Seandainya, kita kerap mengatakan kita tidak boleh, kita tidak mampu, kita masih banyak kelemahan atau berfikiran negatif, kita tidak mampu pergi lebih jauh.

Maka, katakan pada diri bahawa aku akan jadi atau dapat apa yang aku inginkan sehari, seminggu, sebulan, setahun, 10 tahun atau 20 tahun tahun akan datang.
Maka, jangan pernah ragu bahawa ia akan menjadi kenyataan.

Samada anda yakin atau tidak... kerana minda yang yakin akan menghasilkan langkah yang yakin. 

Sedangkan doa pun perlu disertakan dengan yakin, maka, fikiran yang yakinlah akan  menghasilkan doa yang yakin.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda, " Berdoalah kamu kepada Allah dengan penuh yakin bahawa doa kamu diterima " (HR Tarmidzi)

InsyaAllah selepas ini menjadi Opthalmologist (pakar mata) selama 3 minggu pula.

YAKIN ADALAH KEKUATAN...  cuma, selebihnya itu kejayaan atau kegagalan adalah urusan Allah yang perlu kita yakini hikmahnya.

5 Jan 2013

Alhamdulillah yang bermakna

Assalamualaikum semua.


 

tidak terlambat lagi untuk saya ucapkan Selamat Tahun Baru 2013. Apa azam kalian semua?
Perasan tidak blog ini ada sedikit perubahan. Saya telah ubah template dan ubah tajuk blog ini iaitu D(x) atau dengan kata lain DIAGNOSIS.. D(x) ini adalah shortform sahaja. Ia biasa digunakan oleh doktor dan pelajar perubatan dalam nota atau kuliah.

Alhamdulillah kita semua sempat memasuki tahun 2013. dan semoga tahun menjadi tahun untuk kita mengorak langkah perubahan yang lebih baik lagi.

Sebut berkenaan Alhamdulillah, disini saya nak share tentang Surah Az-Zumar, 39: 74:

"dan mereka berkata, "Segala puji bagi Allah yang telah memenuhi janjiNya kepada kami dan telah memberikan tempat ini kepada kami sedang kami diperkenankan menempati syurga di mana sahaja kami kehendaki." Maka syurga itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal."

Dalam ayat ini, ahli-ahli syurga menyebut Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) kerana kesyukuran mereka mendapat syurga Allah.

Inilah Alhamdulillah paling bermakna mereka setelah bersusah payah di dunia.

Kita mungkin mudah untuk menyebut Alhamdulillah di dunia. tapi, adakah kita layak untuk menyebutnya di akhirat kelak?

ayuh muhasabah.. 
setiap kali menyebut Alhamdulillah, ingatlah adakah kita dapat menyebutnya sekali lagi di akhirat kelak.. ?

diagnosis diri.. 

30 Mei 2011

Kesibukan yang tidak akan berakhir


kesibukan yang sentiasa merantai diri

Seseorang pekerja akan mengulang rutin harian yang sama setiap hari. memulakan hari mereka dengan bekerja seawal 7 pagi dan menghabiskan kerja mereka sehingga lewat 7 petang. Kemudian, pulang ke rumah untuk menonton rancangan televisyen kegemaran, melayari internet, bersama pasangan, mengupdate status laman sosial atau lepak bersama kawan-kawan.  Mereka mencari-cari apakah perkara yang perlu disibukkan apabila ada masa terluang di malam hari, di hujung minggu atau cuti umum.

Itulah kesibukan rutin harian seorang pekerja dan mungkin bagi seorang pelajar. Hidangan hiburan yang dicari bukan lagi menghadiri majlis ilmu agama/halaqah/ usrah , membaca alquran, mencari mad'u untuk dibina, berdakwah, membaca buku-buku perubahan diri atau kesibukan amalan akhirat, namun, kita telah disibukkan dengan hiburan orang-orang barat yang semestinya menjadi hidangan yang paling lazat kala ini.

Inilah yang dikatakan, 

" Apabila kita tidak disibukkan dengan kebaikan, maka kita akan disibukkan dengan keburukan"

Kesibukan MEREKA


Jika dahulu, Rasulullah saw dan sahabat-sahabat disibukkan dengan ibadah, halaqah-halaqah ilmu, dakwah, perang, infaq dan membangunkan ekonomi untuk dijadikan harta dakwah. 


Rasulullah saw sibuk dengan tugasnya menjadi ketua negara, ketua perang, ketua keluarga, berdakwah dan ibadah kepada Allah.


Musa'b sibuk dengan tugasnya berdakwah di Madinah.


Abu Bakar sibuk menjadi sahabat Rasulullah saw yang paling setia.


Abu Hurairah sibuk mengumpul hadith daripada Rasulullah saw dan otaknya adalah gudang pengetahuan.


Khalid al Walid sibuk menjadi panglima perang yang berwibawa.


Siti Khadijah sibuk menguruskan perihal Rasulullah dan menjadi pendokong setia baginda.


'Ibn. Sina dan Al-Razi sibuk dengan hafalan alquran, kajian-kajian tentang perubatan dan penghasilan karya-karya yang masih segar dan menjadi rujukan hingga kini.


mereka sibuk dengan perkara-perkara yang melibatkan kebahagiaan dunia dan akhirat . tapi kita?


Dunia yang menyibukkan

dunia hanyalah tempat bercucuk tanam

Seorang pelajar sering disibukkan dengan assignment, kerja kursus dan nota-nota yang bertimbun.
Seorang ibu sering disibukkan dengan masalah anak-anak, kerja rumah dan suami.
Seorang doktor sering disibukkan dengan melayan karenah pesakit, oncall dan seminar.
Seorang cikgu atau pensyarah sering disibukkan dengan mengajar, melayan karenah anak murid dan kelas tambahan.


Alasan-alasan inilah rupanya menjadikan status mereka sibuk. Padahal, hakikatnya mereka punya masa lapang yang banyak.


Ayuh semak. 


Sesibuk mana pun seseorang mereka masih lagi mampu untuk mengupdate laman Facebook dan duduk berjam-jam di hadapan laptop. Lihatlah statistik yang dilakukan, seramai 10.2 juta dari 28.9 juta rakyat Malaysia mempunyai Facebook dan telah pun disibukkan dengan 'kitab' buatan Mark Zuckerberg ini setiap masa.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih boleh mengupdate blog dan melompat daripada blog lain ke blog lain setiap hari.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu mendownload movie/anime dan menontonnya berjam-jam di hadapan laptop.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu menghabiskan setiap episod drama di televisyen.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu menghabiskan beberapa keping cd bollywood, hollywood dan korea.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu membalas  setiap mesej daripada pasangan mereka dan masih ada masa untuk membuat temu janji setiap minggu atau setiap hari.


Akhirat yang diabaikan


Apabila manusia sibuk dengan dunia, akhirat hanya dipandang sebelah mata.


Solat lewat waktu dirasakan biasa.
Alquran hanya dibaca kadang-kadang sahaja .
Qiamullail hanya dilakukan bila ada hajat di dada.
Halaqah atau usrah hanya diguna pakai bila terasa kosong di jiwa dan bila sudah bosan dengan dunia.
Dakwah dikatakan tidak wajib bagi dirinya. jika orang lain sudah buat, maka dia telah terlepas daripada dosa.


Fahaman sonsang inikah yang telah meresap di dalam hati kita?


Apabila diajak kepada amalan yang mendekatkan kepada Allah dan jaminan kebahagiaan kita di akhirat, kita sentiasa mengelak dan menjadikan sibuk sebagai alasan utama.
Namun, masa lapang yang ada digunakan untuk perkara sia-sia seperti Facebook, blog, movie dan games, kita boleh pula mengatakan ia adalah untuk menghilangkan ketegangan setelah penat bekerja atau belajar. Perkara-perkara ini bukanlah semakin menghilangkan ketegangan malah ia hanyalah satu keseronokan yang mampu menjauhkan diri daripada Allah. Padahal untuk menghilangkan ketegangan itu adalah melakukan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah itu sendiri.


Adakah berani untuk kita mengemukakan alasan ini dihadapan Allah kelak? Malulah kalian dengan masa yang ada dibazirkan dengan aktiviti yang tidak bermanfaat.

adakah kesibukan akan terhenti setelah kita mati?

Penutup: bila ia akan berakhir?


Adakah kesibukan ini akan berakhir setelah kita habis belajar?
Atau setelah kita jadi bos dalam sebuah syarikat?
Atau setelah bersara?
Kita tidak akan dapat rehat walau apapun kondisi kita.


" Sesungguhnya rehat bagi seorang mukmin itu setelah kakinya menginjak ke syurga"


Kerehatan bagi kita bukanlah kematian. Kalau ia adalah kematian, bagaimana di alam barzakh? Kita mungkin sibuk dengan pukulan-pukulan keras daripada malaikat kerana dosa dan noda. Semoga dijauhkan ya Allah.


Semoga kesibukan kita pada hari ini adalah menyumbang pada agama, bukan menjadi penumbang agama. ayuh, fikir-fikirkanlah.


p/s: sibuk dengan dunia adalah  racun kepada kebahagiaan akhirat.

5 Mei 2011

Semua tentang kita


Segalanya bermula di sini

Iman berjalan mundar mandir di depan komuter Serdang. Menunggu seorang akhwat menjemputnya.
Perjalanannya dari perak  ke KL sentral menaiki train pada pukul 530 pagi tadi buat badannya terasa letih.
Terasa penat dan tersangat mengantuk.

Liqo' yang pertama kali dihadirinya memang dijangka akan habis lewat. Bermula selepas isya' sehinggalah pukul 2 pagi. kepalanya terasa pening. Dia hanya sempat tidur lebih kurang 2 jam di surau stesen Batu Gajah. Itu pun tidak nyenyak.

" Mana la Irah ni. Lambatnya sampai. aduh. tak larat rasa nak berdiri lama kat tengah orang ramai ni" ngeluh Iman. Matanya liar mencari-cari kalau ada motor akhwat lalu di depannya.

Suasana di hentian bas amat sibuk. Ramai yang berpusu-pusu turun dari bas untuk menggunakan khidmat komuter. Dulu, Iman akui dia memang 'buta komuter'. Hendak beli tiket komuter pun dia tidak tahu. Apatah lagi mahu naiki mana satu komuter yang betul. Pernah beberapa kali dia tersesat kerana menaiki komuter yang salah.

" STAR, LRT, komuter, train.. ah, tak sukanya naik bendalah ni." rungutnya semasa sesat di Pantai Dalam padahal destinasinya mahu ke Serdang. Rupanya dia tersilap naik komuter.

Matahari semakin meninggi. Tiba-tiba datang seorang lelaki berjaket hitam berdiri disebelahnya. Iman terkejut bukan kepalang. Dia terus mengubah tempatnya berdiri di belakang. tempat di mana tiada orang di kawasan itu.

Iman memandang beberapa kali lelaki itu. Bukan dia tidak mahu menjaga pandangan. Tapi wajah lelaki itu semacam pernah tersimpan dalam memorinya. Lelaki itu juga memandang dan menjeling seolah-olah kenal Iman.

" Eh, macam Firaz je. Tapi dia pakai spect. eh, betul ke tak ni?" 
dia tidak pasti benarkah sangkaannya itu. Perwatakan lelaki itu benar-benar berubah. Mungkin juga perwatakan Iman yang banyak berubah membuat lelaki itu teragak-agak benarkah Iman yang di depan matanya ini rakan sekolah menengahnya dulu.

" Tak mungkin Iman yang jahat dulu di sekolah boleh berubah seperti sekarang." Iman membuat anggapan apa yang Firaz rasa bila melihatnya.

Sejak Iman berhenti sekolah, tidak pernah lagi dia menghadiri reunion sekolahnya yang dibuat hampir setiap tahun. Duit tahunan pun tidak dibayarnya kerana lebih memilih digunakan sebagai infaq dakwah yang sentiasa memerlukan. tambahan pula, Iman malas mengingati sejarah jahiliyyah dulu. bercouple, playgirl, baju ketat, tudung jarang, bergaul bebas, ego, susah meminta maaf, ngadu domba.. banyaknya.

zaman sekolah dianggap zaman mencuba sesuatu yang baru

Pernah sahaja dia meminta izin pada Murobbiyahnya untuk ke reunion sekolah, namun, Murobbiyahnya dengan hikmah memberi sebab-sebab tak perlunya pergi ke reunion.

" nanti mesti terserempak dengan ex-boyfriend aku yang dah clash."
" program bercampur la pulak. dekat resort plak tu. tak sukanya program ada campur laki pompuan."
" mesti ada budak-budak laki yang akan cuba dekati aku tanya macam-macam. ataupun yang nak ngurat aku lagi skali."
" budak-budak pompuan plak nanti sindir aku sebab diorang la orang yang paling kenal aku kat asrama aku macam mana."

macam-macam sangkaan bermain-main di kotak fikiran Iman bila mahu ke reunion sekolah. Sebenarnya dia memang nak sangat ke reunion, tapi, banyak perkara yang ditakuti akan terjadi bilamana dia ke sana. lebih baik di tahannya sehingga dia sudah menikah. Mungkin bila hadiri reunion bersama suami, akan berlainan sedikit berbanding pergi bersama kawan-kawan. Lebih selamat dan lebih bahagia mungkin.

Iman sebenarnya sangat bangga dengan kejayaan kawan-kawan sekolahnya. itupun dia dapat tahu melalui curi-curi masuk di laman sosial. Ada yang tengah sambung master, baru graduate, sudah bekerja, sudah bersuami, ada anak dan macam-macam lagi. Namun, Iman masih belum lagi mengecapi  semua itu.  Cemburu melihat mereka semua. Namun, dia tahu, akan ada bahagia yang diberikan oleh Allah untuk dirinya kelak. Iman akan sedia menunggu.

Selepas di yakini memang itulah Firaz. Iman terus buat tak tahu. Ditundukkan pandangan dan dibisukan mulutnya. 

"Biarlah dengan Firaz. Aku bukanlah aku yang dulu. Aku adalah manusia yang ditarbiyah. Manusia yang tahu batasan pergaulan. Mungkin kalau aku ini bukanlah orang yang ditarbiyah, sudah lama aku duduk sebelah Firaz, tanye dia betulkah dia Firaz, ex-sekolah aku dulu? dan mungkin aku ajak dia breakfast sama-sama kat kedai tepi tu. sembang macam-macam tentang kawan-kawan satu batch dengan kita " Iman bermonolog sendirian.

Tiba-tiba motor akhwat sampai. Iman mengusung beg rodanya. Dia perasan Firaz melihatnya.
Hati Iman lega kerana Iman mampu menahan dirinya dari bercakap dengan Firaz.  dan dia tahu mungkin Firaz menghormatinya kerana Iman bertudung labuh. Alhamdulillah.

" eh, camna nak usung beg roda ni guna motor? " Iman bertanya pada Irah. 
"letak je di tengah-tengah kita dua. InsyaAllah tak de pape. Dekat je pon."
" ok"

Iman dan Irah terus memecut laju motor mereka ke BD.

merenung jauh. masa lalu adalah pengajaran.


Waktu terasa semakin berlalu
Tinggalkan cerita tentang kita 
Akan tiada lagi kini tawamu 
Tuk hapuskan semua sepi di hati


Ada cerita tentang aku dan dia 
Dan kita bersama saat dulu kala

Ada cerita tentang masa yang indah 
Saat kita berduka saat kita tertawa
Teringat di saat kita tertawa bersama 
Ceritakan semua tentang kita


p/s: cerita ini adalah sedikit rekaan. Semoga kita sama-sama ambil pengajaran. InsyaAllah.

6 Apr 2011

Kenapa berjemaah?

hidup dalam satu kelompok itu kan lebih indah dan membahagiakan

Kita sangat digalakkan untuk berada dalam jemaah-jemaah yang sedia ada. Hidup dalam berjemaah sangatlah dituntut berdasarkan firman Allah:

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti bangunan yang tersusun kukuh” ( Assaff [61]: 4)
Boleh rujuk di sini ( klik)


Hidup berjemaah adalah sarana atau wasilah untuk kita saling nasihat-menasihati, berdakwah dengan lebih efisien dan saling bekerjasama untuk islam.

Kepentingan berjemaah

Apakah pentingnya berjemaah? Tidak bolehkah jika tidak turut serta dalam jemaah yang ada. Bukankah jika tidak berjemaah kita juga boleh melakukan amal kebaikan? Boleh meminta nasihat daripada para ustaz dan ustazah? Atau apalagi berdakwah. Semuanya boleh buat. Ada berjemaah atau tidak sama sahaja! Itu mungkin monolog seseorang yang masih tidak merasai nikmatnya berjemaah.

Ayuh, disini saya ingin berkongsi, pentingnya berjemaah dalam hidup seorang muslim:

1- Tarbiyah yang berterusan.

Setiap jemaah akan ada sistem usrah atau halaqah setiap minggu. Maka, dengan halaqah inilah kita akan lebih fokus dalam menuntut ilmu, menjaga iman sesama kita, membincangkan perihal dakwah yang telah dilakukan dan masalah-masalah yang berkaitan. Tarbiyah merupakan proses pembentukan peribadi muslim. Dengan tarbiyah, seseorang akan diberi pemahaman tentang pentingnya membuang karat-karat jahiliyyah, melakukan mutabaah ibadah dan berdakwah. 


Proses tarbiyah bukanlah proses yang sekejap. Semasa melewati proses tarbiyah, seseorang itu akan diuji dengan bagaimana sikapnya dalam berkorban masa, jiwa dan harta. Tarbiyah yang berterusan bukanlah setakat di peringkat universiti, malah apabila sudah bekerja atau berkeluarga juga sistem tarbiyah ini tetap diteruskan.

2- Menegakkan islam dan berdakwah

Agak sukar jika mahu berdakwah berseorangan. Tidak dinafikan, jika berseorangan, kita memang masih boleh berdakwah. Tetapi sejauh manakah kita mampu bertahan? Mungkin pada hari kemudian nanti, kita yang terikut-ikut dengan arus permodenan. Bukan kita yang berdakwah, namun kita yang akan didakyah. Apalah yang mampu dilakukan jika kita hanya berdakwah berseorangan. Paling tidak kita hanya mampu menulis, menasihati  rakan yang rapat tanpa tindakan serius atau mengedar artikel. 


Namun, dengan berjemaah, kita akan melakukannya dalam kelompok dengan penuh strategi dan plan yang baik. Kita akan  tahu selok belok dalam berdakwah, bagaimana proses mengumpulkan objek dakwah dan dapat  mengelakkan kefuturan yang melampau. 
segalanya bermula dengan halaqah

3- Program-program yang meningkatkan tsaqafah (kefahaman)

Program-program anjuran jemaah bukanlah suatu program yang suka-suka sahaja dilakukan. Namun, ia adalah program yang menjurus kepada permasalahan ahli dalam kalangan jemaah itu sendiri. Kebanyakan ilmu yang diperolehi daripada program tidak akan diperoleh daripada halaqah/usrah yang berlangsung setiap minggu. Dalam program, kita  mungkin akan didedahkan tentang pemantapan aqidah, pentingnya ibadah, mengapa perlu berdakwah atau bagaimana menjadi murobbiyah.

Setelah beroleh pemahaman, ahli di kalangan jemaah itu sendiri akan termotivasi untuk bergerak lebih jauh lagi, yakin dengan jalan yang mereka pilih dan sentiasa bersemangat dalam melakukan tugas sebagai seorang dai'e.

4- Berubah menjadi lebih baik

Dengan tarbiyah kita diajar untuk memberi. Sampai pada satu masa, kita perlu untuk mengajak manusia, setelah nikmat tarbiyah sampai kepada kita. Kita perlu menjadi murobbi/murobbiyah. Apabila kita menjadi daie’, sedikit demi sedikit kita akan cuba sedaya upaya untuk menunjukkan keteladanan kepada objek dakwah dan memperhatikan setiap perkara yang kita sampaikan agar kita lakukan.

Tidak mungkin tarbiyah menjadikan seseorang itu lebih buruk dari sebelumnya sedangkan proses tarbiyah itu hanya mengajarkan kebaikan kepada pesertanya. Peserta tarbiyah perlu berusaha untuk mencapai 10 Muwasafat tarbiyah yang telah digariskan. 

5- Baitud Duat ( Keluarga da’ie)

Dalam berjemaah akan ada pihak-pihak yang menguruskan pernikahan muslimin dan muslimat ( ikhwah dan akhwat). Dengan itu, kita akan dapat memilih pasangan hidup yang memahami diri kita dan prinsip kita kerana sebelum proses petunangan, seseorang itu akan dipasangkan dengan orang yang sesuai. Akan ada orang tengah yang menguruskan proses taaruf setiap pasangan yang ditemukan dan diawasi ikhtilat mereka. 


InsyaAllah pasangan yang kita peroleh itu akan membantu kita dalam istiqamah di jalan tarbiyah ini dan anak-anak yang terlahir adalah hasil didikan ibubapa mereka yang ditarbiyah.

Ayuh Mencari

kita akan mudah jatuh  jika kita hidup bersendirian

Jika sekarang anda masih lagi seorang, masih lagi tiada usrah atau halaqah, masih lagi bersenang lenang, ayuh lakukan usaha mencari! Mencari jemaah/ usrah/ halaqah yang boleh terus membimbing anda selama anda hidup.

Jangan sia-siakan hidup anda dengan aktiviti tidak bermanfaat hujung minggu atau waktu rehat untuk berseronok. Namun, isilah ia dengan program-program hujung minggu yang bermanfaat. Minggu-minggu yang sentiasa ada pengisian rohani. Rakan-rakan dan sahabat yang apabila kita melihatnya, buat kita rasa mahu beribadah dan mengingati ALLAH.

Itu semua takkan dikecapi tanpa kita hidup berjemaah. Carilah mana-mana jemaah yang ada di Malaysia ini yang terus mengikuti Al-quran dan Sunnah sebagai rujukan utama. Terus mencari jemaah yang boleh diajak untuk menegakkan islam.

InsyaAllah anda takkan rugi bilamana anda sudah mendapatkannya.
Ayuh, mulakan langkah dari sekarang!!

19 Jan 2011

Sejarah silam yang menyakitkan

tompok itu perlu dirawat dan diubat, jangan dibiarkan melarat

kita pasti punyai sejarah silam yang kalau boleh hanya kita yang tahu. Tapi kadang-kadang terpaksa kita cerita pada akhwat atau mad’u untuk di jadikan ibrah (pengajaran) dan peringatan.

Ini bukan sejarah yang biasa. Tapi luar biasa. Sejarah jahiliyyah kita terutamanya sejarah cinta kita. Wah.. siapa yang bertuah sahaja yang akan tahu.

Di zaman jahiliyah

Kebanyakan akhwat sebelum ditarbiyah, mereka pernah ber’couple’ atau berkawan baik dengan seorang lelaki ataupun dengan kata lain mendekati ZINA. Lelaki itulah yang mengetuk hatinya saat dia memerlukan kasih sayang dan perhatian di zaman remajanya. Tika melihat, kawan-kawan sekelilingnya juga punya seorang lelaki untuk meluahkan perasaan dan berkongsi suka duka.

Mengapa kita terjebak dalam kancah ini? Mungkin sebab kita tak faham atau kita silap faham tentang zina ini. Memahami ayat 33:21 itu dengan erti kata kita dilarang berzina sahaja. Tapi hakikatnya, ayat itu menunjukkan larangan Allah mendekati segala apa yang boleh menjerumus pada zina.

Sehingga kita ditarbiyah, kita baru memahami hakikat zina yang sebenarnya. Dan saat itu juga kita merasakan perlunya kita memutuskan hubungan dengan lelaki itu. walaupun perit dan menangis beberapa hari, namun itulah dosa besar yang perlu kita tinggalkan kerana dosa itu pasti akan menghalang proses tarbiyah. Sesungguhnya meninggalkan jahiliyah yang kita sangat sayang adalah amat perit. Benar kan? Tapi insyaAllah dalam keperitan itu akan ada kemanisan akhirnya. Itulah pentingnya kebersamaan kita dengan akhwat agar kita tak terjatuh ke lubang yang sama dua kali.

Rahsia yang perlu disimpan

bersedia dengan iman sebelum bermula kerana takut terbenam di tengah lautan



Dulu, kita bukan sahaja couple. Tapi mesti banyak lagi karat-karat jahiliyah yang kita lakukan dulu. Memang bagus kalau diceritakan untuk dijadikan ibrah terutamanya untuk mad’u kita. Tapi usahlah terlalu detail. Cukuplah untuk mereka mengambil pengajaran agar tidak terjebak ke kancah yang sama seperti kita pernah lalui. Kejahatan itu jangan diterangkan secara mendalam dan terperinci. Namun, kebaikan itu terangkanlah secara seluruhnya berserta dengan nikmatnya. Kerana kita mudah mengikut kejahatan berbanding kebaikan.

Jika difikirkan, apalah pentingnya menceritakan kisah silam yang buruk kepada orang lain jika bukan bertujuan memperingat. Besar kemungkinan, boleh mendatangkan dosa pula kerana kita mungkin akan terasa ‘ter’bangga dengan kelakuan bebas kita dahulu. Bangga kerana walaupun kini sudah baik, tapi berpeluang merasa jahat ber’couple’, menunggang motor dengan lelaki ajnabi, menjadi perempuan rebutan di sekolah, ratu shopping complex, dan pakar menambat hati lelaki.


kita sepatutnya bersyukur kerana Allah telah menutup aib dan dosa kita selama ini. Namun, takkan kita hendak mengaibkan diri kita pula dihadapan orang dengan sewenang-wenangnya? moga Allah terus menutup aib diri kita samada di dunia atau akhirat.

Bersedia menerima apa yang bakal berlaku

Pernah dengar tentang ada lelaki yang sanggup menunggu kita? Atau lelaki yang akan datang meminang kita bila dia telah bersedia? Atau mungkin lebih dahsyat, datang rumah merisik kita. Itu mungkin berlaku. Dan buat akhwat yang sudah di tarbiyah, bersedialah dengan apa yang akan terjadi kelak. Mungkin, kita akan di uji dengan sms/call/emel yang tiba-tiba datang dari seorang yang kita sangat kenal. Atau mungkin kita diletakkan sekelas atau satu universiti dengan lelaki itu. saat itu iman kita akan diuji. Mahu terus menjaga dan berpegang dengan prinsip atau tewas jika diganggu semula. Itulah ujian keimanan yang Allah beri untuk menguji sejauh mana tahap tarbiyah kita dan tahap perbaikan yang telah kita lakukan.

Itu dari pihak lelaki itu. bagaimana pula dari pihak kita? Kadang-kadang kita pasti akan teringat lelaki itu yang dulu pernah memikat hati kita. Dan bisikan syaitan pasti akan terus menuju ke titik kelemahan kita. Bila melihat si dia online, jari jemari kadang-kadang mahu ber’chatting’ sebentar. Atau bila terjumpa FB si dia, mungkin jari jemari mahu menyelidik profile nya, gambar-gambar nya dan di mana dia sekarang. Mungkin juga kita akan memanfaatkan jaringan internet untuk cuba mencari blognya atau apa sahaja yang berkaitannya.

Ukhti, bertarunglah dengan keadaan itu. kuatkan iman anda untuk menghadapi kemungkinan yang bakal datang. Janganlah kita terjebak dengan kancah zina dua kali. Kalau bukan kerana kondisi iman kita yang terjaga, mungkin kita akan ber’couple’ semula dengan si dia walaupun sudah tahu.

Sejarah itu satu pengajaran


sejarah yang kita lalui dahulu adalah satu pengajaran buat kita. Saidina Umar Al Khatab pernah mengatakan bahawa jika seseorang itu hebat di zaman jahiliyyahnya, maka pasti dia akan hebat di zaman keislamannya( tarbiyahnya).


maka, buktikan kata-kata itu. jadikan apa yang kita lalui itu sebagai booster untuk kita menjadi muslim yang lebih baik hari ini.


sejarah bukan untuk diratapi tapi di ambil pengajarannya!

p/s: teruskan hidup dan tinggalkan masa silam itu.


* posting yang banyak pada bulan ini bukan kerana saya rajin menghabiskan masa menulis, namun ia adalah posting yang lepas semasa saya berehat dari berblogging. sekian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...