IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL

.

SELAMAT DATANG

Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.
Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.
Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.
Teruslah bertahan, hingga kefuturan itu futur menyertaimu.
Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu.”
( allahyarham KH Rahmat Abdullah )

17 Ogo 2011

Maksiat yang tersembunyi


Sepatunya tiada campuran baik dan jahat dalam satu jiwa

" Eh, farid. Apa kau tengah buat?"
" Emmm.. er.. aku.. aku.. aku.."
" Engkau tengah chatting dengan perempuan? Biar betul. Aku ingat kau tengah khusyuk buat assignment. Kau baru bagi pengisian di taklim semalam pasal ikhtilat dan couple."

KANTOI !

Orang lain tidak pernah tahu betapa besarnya dosa-dosa kita sebenarnya. Allah yang Maha Penyayang telah menutup keaiban ini. Seandainya dosa-dosa ini berbau, nescaya tidak akan ada yang sanggup mendekati kita. Malah, untuk melihat dan memandang juga tidak sanggup.

Kita kononnya dilihat orang yang alim dan bagus sehinggakan kita ini dilabel tidak punya banyak dosa. Kita juga dilihat sebagai orang yang sentiasa mengajak orang lain berbuat kebaikan. Menjadi imam, melakukan qiamullail dan membaca Al-Quran. Namun disebalik itu, hanya Allah jua yang tahu siapa diri kita sebenarnya. Dibalik wajah yang dipercayai ramai, terdapat watak jahat disebalik itu.

Sehingga kini juga, sedikit watak jahat itu tidak mampu dibaca oleh orang lain. Watak itu pandai menyembunyikan diri. Ketika berseorangan, watak itulah yang bermaharaja lela menguasai keadaan. Sekali lagi, tiada siapa yang tahu. Hanya Allah dan empunya diri sahaja yang tahu.

Sisa jahiliyyah dahulu

Watak jahat itulah sisa jahiliyyah kita yang dahulu. Meskipun telah banyak perubahan dan perbaikan yang telah kita lakukan begitu juga banyak ilmu telah kita tahu, namun watak jahat itu seolah-oleh tidak pernah mahu mengalah melepaskan dari genggaman kita.

Semua orang mahu berubah kerana fitrah manusia itu hendakkan kebaikan. Namun, apabila mencapai fasa kesedaran dan tarbiyah, sisa-sia jahiliyyah itu kadang-kadang berjaya dijauhkan dan kadang-kadang menang dalam pertarungan. Sisa-sisa itu seakan-akan mahu diberikan perhatian dan belaian sehinggakan memaksa diri untuk melakukannya walaupun telah tahu bahawa ia adalah sesuatu dosa yang besar.

Menonton video lucah atau beronani.

Lesbian atau gay.

Menghubungi orang yang bukan mahram melalui chatting atau SMS.

Menonton movie dan mendengar lagu lagha.

Menipu dalam mutabaah.

Dan macam-macam lagi dosa.

sisa jahiliyah dulu jika masih dibiarkan, akan terus membunuh diri.


Semuanya tidak diketahui oleh orang lain kerana ia adalah maksiat yang tersembunyi. Watak jahat ini sentiasa berwaspada terhadap musuh-musuhnya. Ia juga pandai mencari tempat sesuai untuk melakukan perkara-perkara tersebut dan sikapnya pandai berpura-pura. Inilah karakter watak jahat itu.


Namun, jauh di sudut hati orang yang dirasuki fikiran itu menyesal berkali-kali terhadap dosa yang mereka lakukan. Merasa sangat menyesal dengan tindakan yang dilakukan. Namun apakan daya, di dalam pertarungan antara iman dan nafsu, watak jahat kerap kali menang.

Hak dan batil yang bercampur

Artikel ini khusus untuk para pendakwah, guru-guru agama, murobbiyah, ustaz-ustaz atau sesiapa sahaja yang dikatakan berilmu dan menyampaikan kebenaran kepada orang sekeliling. Jauhilah daripada dinampak baik pada pandangan orang lain, tapi hakikatnya jelek pada pandangan Allah.

Kita menasihati orang lain macam-macam, namun kita tidak tidak pernah endah terhadap apa yang kita percakapkan. Allahuakbar. Mungkin ramai lagi para dai’e yang masih tidak mengoreksi diri. Ayuhlah sama-sama bermuhasabah dan sentiasa meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah.

Dari Anas bin Malik ra bahwa Nabi saw bersbda: Pada saat aku dinaikkan ke langit (dalam peristiwa isro’ mi’raj) aku melewati suatu kaum yang bibir-bibir mereka potong dengan gunting dari gunting dari neraka, lalu aku bertanya: Siapakah mreka ini wahai Jibril?. Rasulullah saw bersabda: Mereka adalah para pemidato dari kaummu yang mengatakan sesuatu namun mereka sendiri tidak mengerjakannya” (HR Ahmad)

Bertaubatlah sebenar-benarnya. Janganlah bertaubat sekadar melepaskan batuk di tangga. Sekadar memenuhi syarat sebagai orang yang berdakwah. Lakukanlah dengan menangis dan menyesali taubat yang sentiasa dimungkiri dan dosa yang sentiasa dilakukan berulang-ulang kali tanpa diketahui orang lain.


Setiap kali melakukan maksiat itu, taubatlah jalan penyelesaiannya. Agar nanti, ia tidak menghalang kita untuk melakukan amal kebaikan yang lain dan menjauhkan daripada rasa tidak layak serta futur.

Penutup: Akan terbongkar juga

“ Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah juga.”

Mungkin sekarang, kita merasakan bahawa orang lain tidak tahu apa yang kita lakukan. Tapi tidak mustahil, lambat laun rahsia itu akan terbongkar juga. Kali ini, kita mungkin bernasib baik kerana Allah masih lagi menjaga aib kita. Perlu diingat, rahsia itu akan terbongkar samada hari ini, esok, akan datang atau di akhirat nanti.

Azab Allah sangat berat. Setiap yang kita lakukan di dunia ini akan dipertontonkan di  scrin besar di hadapan berjuta-juta manusia. Betapa tidak dapat dibayangkan perasaan takut, malu teramat sangat dan berbagai-bagai kerana dosa-dosa kita kini telah didedahkan oleh  Allah swt. Alangkah malu besarnya jika kita diseksa di hadapan orang-orang lain yang tidak beriman hanya kerana maksiat tersembunyi ini. 


Tika watak jahat tiba-tiba muncul di hadapan kita seringkali ingat akan kematian dan azab Allah yang menggerunkan ini.

Dari Usamah bin Zaid ra bahwa dia pernah mendengar Nabi saw bersabda: Seorang lelaki didatangkan pada hari kiamat lalu dicampakkan ke dalam api neraka, kemudian ususnya berhamburan keluar lalu dia berputar-putar dengannya seperti berputar-putarnya  himar dengan batu penggilingannya. Kemudian para penghuni surga berkumpul di hadapannya dan bertanya kepadanya: Apakah yang terjadi padamu?. Tidakkah engkau yang pernah memerintahkan kami kepada Al-Ma’ruf dan yang mencegah kepada yang mungkar?. Dia menjawab: Aku telah memerintahkan kalian dengan yang ma’ruf namun aku sendiri tidak melakukannya dan mencegah kalian kepada dari yang mungkar namun aku mengerjakannya”.
(Sahih Bukhari dan Muslim)

lambat laun segalanya akan terbongkar juga

Bertakwalah kepada Allah. Allah masih memberi peluang untuk kita bertaubat.

Jauhilah dan tinggalkanlah segera maksiat itu kerana sesungguhnya maksiat itu hanya akan menggelisahkan hati.


Bermuhajadahlah sekuat mungkin untuk mencapai darjat mukmin yang tinggi di sisi Allah swt.

Jika benar kita mahu meninggalkan maksiat itu, berdoalah kepada Allah agar menutup keaiban kita di dunia dan di akhirat nanti.

p/s: Berupaya menjadi sempurna walaupun tidak mampu menjadi sesempurna mungkin.

10 Ogo 2011

Tarbiyah yang berkualiti


Kualiti tarbiyah sangat mempengaruhi peribadi seseorang

Firdaus mengikuti tarbiyah semasa dia memasuki alam universiti. Namun, setelah habis belajar dan sehingga sekarang dia bekerja, dia tidak mengikuti tarbiyah. Tarbiyah yang diikutinya semasa universiti seolah-olah membiarkannya sendiri. Akhirnya, segala apa yang diperolehi sewaktu tarbiyah kini bagai angin sahaja seolah-olah firdaus tidak pernah ditarbiyah. Dia sudah tidak mengamalkan mutabaah. Solat berjemaah di masjid pula sudah jarang sekali. Waktu lapangnya hanya dihabiskan di rumah dengan melayari internet. Ibunya bingung. Manakah firdaus yang dahulu?


Ini salah satu kisah benar yang saya perolehi daripada saudara terdekat. Mungkin banyak lagi kisah yang sama seperti ini. Kita tidak mahu tarbiyah yang kita perolehi sekarang atau akan datang hanyalah tarbiyah yang tidak konsisten dan hanya pada jangka masa pendek sahaja. Kita sangat memerlukan tarbiyah yang berkualiti agar nanti peribadi muslim yang terbentuk tidak mudah ter ‘sibghah’ (celupan) dengan persekitaran luar yang semakin bernanah. Kita juga mahukan peribadi muslim berkualiti yang kekal sehingga pengakhiran hidupnya.

Ciri-cirinya

Bagaimanakah mahu memastikan tarbiyah yang kita dapat berkualiti nilainya? Adakah perlu dilihat pada bilangan yang mengikutinya atau gah namanya? Atau mungkin dilihat pada hebat ketuanya?

Tarbiyah berkadar langsung dengan kualiti peribadi muslim seseorang. Semakin bagus tarbiyahnya, semakin berkualiti manusia yang terhasil daripada acuan tarbiyah itu sendiri. Namun, bagaimana mahu melihati dan meyakini ia adalah berkualiti? Berikut adalah beberapa ciri yang saya mampu senaraikan mengikut pengalaman.

Berpandukan Al-quran dan hadith

Ini adalah aspek yang sangat penting dalam mengikuti sesuatu proses tarbiyah. Ini juga menentukan sesuatu tarbiyah itu berada di jalan yang lurus atau terpesong. Hasil daripada tarbiyah ini bukan sahaja menjadikan peserta tarbiyah mengetahui banyak hal tentang Al-Quran dan hadith, namun semakin dekat dengan Al-Quran. Hidupnya dilazimi dengan kalam-kalam Allah ini. Hatinya semakin merasa cinta akan surat cinta Allah ini. Jiwanya merasa tenang saat mendengar alunan bait-bait indah kalamullah ini.

Dia tidak akan tergerak hati untuk mencari sesuatu hiburan lain yang lebih indah daripada hiburan membaca Al-Quran tika masa lapang menjengahnya. Langkahnya mencuba yang terdaya untuk mengamalkan apa yang diperintahkan Al-Quran. Penghayatannya terus menerus tanpa kenal erti puas. Hadith-hadith yang didengari acap kali dan dipelajari sepanjang tempoh tarbiyah membuat dia boleh membezakan antara hadith sahih, palsu atau dhaif. Inilah nilai tarbiyah berkualiti yang meresap dalam diri seorang hamba yang mengikuti tarbiyah!


setiap ahli mampu ditampung oleh management tarbiyah


Berupaya menampung ahlinya

Peranan murobiyah begitu penting untuk memastikan tarbiyah berupaya menampung ahlinya. Jika murobiyah tidak mengambil berat akan permasalahan dan apa yang berlaku pada mutorobbiyahnya, maka tarbiyah mungkin akan terhenti setakat itu sahaja. Keberkesanan tarbiyah bergantung pada murobbiyah, untuk memastikan proses tarbiyah berlangsung berterusan. Namun, jika tidak berterusan, itu mungkin salah mutorobbiyah sendiri yang tidak komited terhadap tarbiyah.

Tarbiyah yang mampu menampung ahlinya adalah tarbiyah yang sentiasa mengetahui setiap perkembangan ahlinya walaupun ahlinya banyak atau sedikit. Setiap inci yang berlaku diketahui oleh management tarbiyah. Ini samada dari segi masalah peribadi, keluarga atau perpindahan tempat yang berlaku pada mutorobiyah. Segalanya diketahui dengan baik agar mudah untuk menyelesaikan masalahnya. Sekalipun terdapat ahli yang menyambung pelajaran atau bekerja di tempat lain, murobbiyahnya akan sedaya upaya mencari jalan agar tarbiyah tetap berlangsung pada mutorobbiyahnya.

Medan beramal

Jika sudah ditarbiyah, tetapi masih tidak mampu menjaga ikhtilat, aurat, ibadah seharian atau berdakwah maka seseorang ahli itu tidak lain tidak bukan hanyalah penumpang tarbiyah. Hanya menjadikan tarbiyah sebagai pengisi masa lapang dan ketika diri kekosongan. Terdapat ramai orang yang mengaku ditarbiyah tetapi masih melayan movies, lagu dan games lagho dengan alasan untuk merelease tension atau dengan kata lain tidak apa melakukannya selagi tidak mengabaikan perintah Allah. Adakah ini yang dikatakan tarbiyah berjaya mengubah seseorang yang jahil kepada seseorang yang berilmu? Adakah kalian tidak mentadabbur surah Al-Mukminun(23): 1-3 ?

" Beruntunglah ( berjayalah) orang mukmin itu, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya dan orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang tidak berguna."

Kepada dai'e di luar sana yang masih melakukan aktiviti lagho dan sia-sia, cepatlah bertindak. Kerana jika kalian yang faham agama boleh hanyut dengan perang pemikiran orang-orang kafir, maka tidak mustahil umat lebih parah daripada apa yang kalian sangka!


Tarbiyah menjadikan seseorang bukan sahaja kaya ilmunya, malah menjadi orang yang merubah diri dan orang lain kerana ilmunya. Jika sepanjang tarbiyah bertahun-tahun pun tetapi tidak boleh komited terhadap tugas dan tanggungjawab setelah diperingatkan banyak kali, maka ini bukan salah tarbiyah tetapi sekali lagi, ini salah diri sendiri!


Medan beramal adalah satu indicator bahawa tarbiyah yang berlangsung adalah berkualiti. Mentarbiyah manusia tanpa mendorong seseorang untuk berubah kepada yang lebih baik itu adalah sesuatu yang sia-sia. Masakan tidak, ahli hanya mencedok ilmu sahaja tanpa ditegaskan tentang pentingnya menjadi peribadi muslim dan dai'e yang sejati.

Keaslian tarbiyah terjaga

Tarbiyah diperolehi daripada halaqah, program dan sarana tarbiyah yang lain. Keaslian tarbiyah sangat perlu dikekalkan. Seperti halaqah sepatutnya berlangsung sekurang-kurangnya 2 jam setiap minggu sarat dengan pengisian dan task untuk dibentang. Kadatangan, disiplin dan pembentangan task perlu di ambil berat iaitu dengan mempunyai borang khusus untuk halaqah. Penekanan yang diberikan oleh murobbiyah perlu berkaitan dengan permasalahan mutorobbiyah. Disamping itu, daurah atau program mempedulikan kedatangan ahli dan sebab yang munasabah jika tidak hadir. Begitu juga mutabaah, sangat dititik berat kepentingannya.

Setiap bahan yang disampaikan murobbiyah mesti bertepatan dengan apa yang sesuai dengan level dan usia tarbiyah mutorobbiyah. Murobbiyah perlu merujuk buku-buku Fiqh Dakwah untuk memahami lagi cara yang benar dalam membimbing mutorobbiyah hingga menjadi lebih baik daripada sebelumnya.


Kecairan tarbiyah akan menjadikan kecairan dalam peribadi yang terbentuk. Jika setiap sudut tarbiyah yang dipraktikkan tidak seasli sepertimana tarbiyah yang dibentuk oleh generasi-generasi terdahulu/ terawal, tidak mustahil kualiti seorang yang ditarbiyah hanya sama sahaja dengan orang-orang biasa yang tidak tarbiyah.

Penutup: Tarbiyah berkualiti hasilkan generasi berkualiti

Baja tarbiyah yang berkualiti akan menghasilkan generasi bunga yang berkualiti

Penyataan ini tidak boleh disangkal lagi. Memang benar generasi muslim dan dai'e yang berkualiti adalah hasil daripada tarbiyah yang berkualiti. Dan umat yang berkualiti terhasil daripada dai’e yang berkualiti.

Mulakan daripada sekarang. Jika kita benar-benar inginkan umat menjadi generasi yang berkualiti sepertimana sahabat-sahabat Rasulullah saw, maka kita sebagai seorang dai’e perlulah menjadi berkualiti daripada sekarang dan berusaha mendapatkan ciri-ciri tarbiyah yang berkualiti.

“ Tegakkan islam di dirimu, nescaya islam akan tertegak di bumimu.” (Hassan Al-Hudaibi)

P/s: segalanya bermula di sini.

6 Ogo 2011

Ceramah Umum vs Halaqah

Ceramah umum = ceramah yang tidak tentu waktunya, tiba-tiba dan tidak konsisten


Dilema..halaqah atau ceramah umum?

Halaqah tetap akan berlangsung meskipun zaman khilafah Islamiyyah telah wujud!”
(Mustafa Al-Masyur)

Halaqah atau usrah adalah salah satu sarana yang sangat penting dalam diri seseorang yang ditarbiyah. Tanpa halaqah atau usrah, proses tarbiyah tidak akan berlaku dengan baik kerana tiadanya pemantau atau murobbiyah. Halaqah atau usrah juga wajib dilakukan secara konsisten dan berdisiplin setiap minggu walau apapun keadaan untuk menghasilkan halaqah muntijah (sukses).

Sebab itulah, Imam Syahid Hassan Al-Banna telah memperkenalkan sistem halaqah ini di Mesir sewaktu Islam dalam keadaan terumbang-ambing. Ini kerana dengan halaqah inilah peribadi muslim terbentuk dan semangat jihad para pemuda dapat dikobarkan.

Pertembungan

Pertembungan antara halaqah dan ceramah umum sering berlaku kerana ceramah umum diadakan bila-bila masa dan tidak tentu tarikhnya. Manakala, halaqah memang telah dikhususkan waktunya. Perit juga untuk membuat pilihan sesuatu yang kita rasa kedua-duanya adalah penting. Kita akan berada dalam dilema samada mahu memilih ceramah umum atau halaqah.

Dalam ceramah umum, isu-isu yang diketengahkan amatlah menarik minat sesiapa sahaja yang mendengarnya terutama isu cinta. Penceramah-penceramah yang dijemput pula terdiri daripada orang-orang yang terkenal, golongan cerdik pandai dan lulusan universiti terkemuka. Kehadiran pula sangatlah ramai sehingga memeriahkan lagi suasana dewan yang besar.

Namun, berlainan sekali dengan halaqah. Isu-isu lebih menyentuh tentang perbaikan diri. Penceramah atau murobbiyah bukanlah golongan yang arif dalam agama tapi terdiri daripada mereka yang belajar sains, kejuruteraan atau akauntan. Kehadiran pula tidaklah seramai mana kerana fokus pada orang-orang tertentu.

Jadi, mana satu perlu dipilih? Dalam kes ini, kita perlu mengetahui tentang priority (keutamaan)!

Persamaan

Jika dilihat, terdapat begitu banyak perbezaan diantara kedua-duanya. Namun, persamaannya adalah satu iaitu kita akan memperolehi ilmu. Ilmu yang sangat bermanfaat. Ilmu yang baru dan jarang kita dapat. Namun, adakah semata-mata ilmu yang kita kehendaki?

Bukan niat untuk menghalang kalian semua daripada ceramah umum. Namun, ayuh kita muhasabah dan fikir-fikirkan. Jika di ceramah umum, sejauh manakah amal kita setelah mendapat tahu tentang apa yang kita perolehi? Sejauh manakah follow up yang akan dilakukan setelah kita hadir ke ceramah itu? Apakah terdapat komunikasi dua hala antara para penceramah dan kita selepas itu? Jika ada, adakah ceramah yang seterusnya kita akan ditanya semula tentang masalah kita? Malah, muka kita pun  perceramah sudah tidak kenal lagi rasanya!

 memilih keutamaan

Sebab itulah, penceramah yang masih tidak punya binaan atau halaqah ke bawah perlu berusaha supaya mempunyai binaan atau halaqah ke bawah supaya dengan cara itu mampu membimbing manusia secara serius dan berkesan. Ini kerana, dakwah fardhiyah adalah sebaik-baik cara dalam menyentuh hati manusia kembali kepada islam. Inilah yang diajarkan oleh Abbas As-Siisiy dalam bukunya Bagaimana Menyentuh Hati.

Perbezaan

Dalam halaqah, waktu yang ditetapkan adalah sama pada setiap minggu. Halaqah sentiasa berlangsung dengan konsisten. Dengan halaqah, kita boleh belajar macam-macam dengan merujuk buku rujukan agama dengan pantauan murobbiyah dan pasti kita akan dapat mengetahui tentang sesuatu perkara dengan lebih mendalam lagi seperti sirah, tafsir al-quran dan hadith yang sebelum ini kita hanya tahu surface sahaja daripada para penceramah yang lain.

Halaqah juga lebih memberi kesedaran untuk kita beramal walaupun ilmu murobbiyah kita tidaklah sehebat mana ilmu seorang penceramah. Murobbiyah akan memantau masalah, pekembangan, perbaikan dan perubahan yang kita lakukan kerana murobbiyah tugasnya adalah sebagai ibu, ustazah, ketua dan kakak. Dengan halaqah, kita juga akan dibimbing untuk menghalaqahkan orang lain juga sepertimana apa yang dilakukan oleh murobbiyah kita. Maka, proses tarbiyah yang berlangsung tidaklah mandul kerana akan ada generasi yang berikutnya untuk terus bergerak menyebarkan dakwah islamiyah. Kesimpulannya, halaqah lebih mengajak kita untuk beramal dan bukan sekadar mendengar dan menambah ilmu.

Selain itu, kelompok yang kecil dalam halaqah membolehkan tarbiyah dapat menyerap masuk dengan mudah kerana lebih fokus dan tidak terlalu ramai.

Maka, sebab itulah dalam persoalan memilih jika bertembung keduanya adalah memilih halaqah.

Penutup: Bagaimana?

Jika kita seorang pencinta ilmu, hadirkanlah diri dalam kedua-dua event ini kerana keduanya adalah taman-taman syurga di dunia dan manfaat yang besar kita akan peroleh daripadanya. Namun, jika berlaku pertembungan antara keduanya, jawapan telah pun ada dalam benak hati kita.

Sentiasalah waspada dengan jadual halaqah dan ceramah umum yang akan diadakan. Jika kita ada masa terluang dan terdapat ceramah umum diadakan, berlumba-lumbalah hadir ke sana untuk mengutip sebanyak mana ilmu dan perkara baru di sana kerana apa yang ada di ceramah umum, tidak semestinya ada di halaqah!

Artikel ini bukan mengajak akhwat begitu anti pada ceramah umum. Namun, sekali lagi yang paling penting adalah priority (keutamaan).

halaqah itu sangat urgent bagi kita!

P/s: Artikel ini khusus buat mereka yang ada halaqah!

3 Ogo 2011

Rumah Tarbiyah Akhwat


Rumah Tarbiyah = Rumah sewa akhwat
rumah tarbiyah adalah rumah menjana ukhwah

Sesetengah orang beranggapan duduk di rumah sewa memerlukan kos yang tinggi. Tapi ada juga orang beranggapan duduk di rumah sewa lagi menjimatkan kos. Dan ada pula yang beranggapan kos duduk di rumah sewa sama sahaja dengan kos duduk di dalam kampus. Mana yang betul sebenarnya?

Saya tidak menyokong mana-mana penyataan Tapi di sini, saya punya tips berguna untuk para akhwat yang duduk di rumah sewa atau bakal duduk di rumah sewa.

Tidak mahu membazir atau berjimat?

Bila duduk di rumah sewa baru kita tahu hakikat berjimat. Jika duduk di kampus, kita bebas membazirkan elektrik dan air kerana menganggap ‘ bukan aku yang bayar ’. Tapi, kita tidak menerapkan dalam diri kita bahawa membazir itu amalan syaitan dan membazir itu satu dosa. 

" Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan. sedang syaitan itu adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya" ( Al Isra'; 27) 

Maka, bila duduk di rumah sewa yang kita memang bayar semua bil, kita akan berjimat dengan alasan tidak mahu membayar bil yang banyak.  Niat kita terpesong sebenarnya.

Lakukanlah penjimatan kerana tidak mahu mengikuti jejak langkah syaitan dan bukan kerana kita yang membayarnya. Oleh itu, bila kita sudah bekerja dan mempunyai duit hasil titik peluh sendiri pun, kita tidak akan lupa perkara ini.

Bahaya duduk dengan bukan akhwat

Jika anda bukan akhwat, maaflah jika artikel ini menganggu ketenteraman anda. Dan jika anda masih belum bergelar akhwat, cepat-cepatlah mencari tarbiyah. Sebenarnya agak payah duduk bersama-sama orang yang tidak ditarbiyah. Orang yang tidak boleh bertolak ansur. Orang yang berkira-kira dalam memberi pinjam barang-barang rumah. Orang yang tidak faham dakwah. Orang yang tidak faham couple itu haram dan boleh selamba ajak lelaki datang ke rumah. Orang yang tidak menjaga kebersihan rumah. Orang yang membiarkan dapur bersepah. Dan senang cerita orang yang tidak mengambil islam sepenuhnya.

Bukan saya kata akhwat bagus sangat. Akhwat sememangnya bukan malaikat. Tapi, at least akhwat memahami akhwat dan akhwat tahu apa itu ukhwah kerana Allah. Akhwat boleh bertolak ansur, tak berkira dalam soal barang dan tahu jadual memasak dan buang sampah walaupun tidak diletakkan jadual. Akhwat juga tahu, ini rumah tarbiyah. Ini rumah tempat berkumpul semasa program. InsyaAllah tiada istilah tidak selesa apabila tetamu selalu berkunjung ke rumah dan tidak akan berkira-kira untuk memberi tetamu makan, minum dan bil air atau elektrik. Akhwat juga tahu segala apa yang dicadangkan demi keselesaan rumah tarbiyah, dia akan terima denga hati terbuka.

Namun, jika terpaksa juga untuk duduk bersama bukan akhwat kerana kos sewa rumah yang tinggi, pastikan kita mengenali mereka dan tahu cara hidup mereka dahulu. Kalau boleh, buat perjanjian atau interview untuk bakal-bakal housemate kita. Jangan lupa, berusahalah sehingga dapat menarik mereka ke jalan tarbiyah jika mampu.

pembaziran akan terjadi jika jika ada sikap sambil lewa
Susunan bilik

Memang kebanyakan rumah sewa akhwat yang saya kunjungi melabelkan bilik kepada 3.  Iaitu bilik solat/halaqah, bilik  pakaian/ tidur dan bilik studi. Jika orang lain, tidak akan sanggup membahagikan bilik sebegini kerana mahu biliknya sendiri dan tidak mahu privasinya diganggu.

Kebaikan melabelkan bilik sebegini salah satunya adalah menjimatkan elektrik kerana jika waktu study semua akan duduk di bilik study. Jika waktu tidur, semua akan tidur dan jika waktu semua orang ke kuliah, semua akan ke kuliah. Tidaklah semua bilik lampu dan kipasnya terpasang.

Ini juga menggalakkan akhwat dapat memantau akhwat yang lain dan mengeratkan ukhwah. Jika seorang atau dua orang dalam satu bilik, pasti kita tidak tahu apakah yang mereka lakukan di dalam bilik masing-masing dan masing-masing pasti akan membuat hal sendiri.

Peraturan rumah

Amat perlu untuk sesebuah rumah tarbiyah mempunyai peraturan yang ditampal di setiap tempat yang memerlukan seperti ruang dapur, peti ais, bilik air dan ruang studi. Ini bertujuan mengingatkan kepada setiap akhwat dan tetamu yang berkunjung supaya sentiasa memastikan rumah sentiasa bersih dan kemas.

Saya baru dicadangkan oleh seorang akhwat supaya membuat peraturan membayar duit RM0.50 jika terdapat dikalangan akhwat yang tidak menutup laptop semasa tidak menggunakannya, tidak menutup lampu atau kipas bilik selepas keluar dari bilik dan membiarkan air di dalam baldi melimpah. Ini satu cadangan yang bagus sebenarnya untuk mengajar para akhwat supaya tidak memandang remeh dengan isu pembaziran. Kemudian duit denda ini akan mengcover bil-bil rumah nanti.

Ini kerana jika duduk di rumah sewa kami yang dahulu, setiap bulan bil elektrik adalah lebih kurang RM140 yang diduduki 7 orang termasuk bukan akhwat padahal hakikatnya ada diantara mereka yang bekerja dan tidak selalu duduk rumah. Ini semua kerana pembaziran yang melampau dan dipandang remeh.

Duit tabung

Untuk mengelakkan daripada istilah ‘ini barang aku, ini barang kau’, buatlah sistem tabung yang mengumpulkan semua duit akhwat yang menghuni rumah. Kemudian, gunakanlah duit itu untuk membeli keperluan rumah samada makanan, barang-barang dapur dan barang keperluan yang lain.

InsyaAllah ini akan lebih menjimatkan. Jika sebulan setiap akhwat perlu membayar RM100, memang sangat mencukupi untuk makanan pagi petang selama sebulan. Malah, mungkin akan ada lebihan duit yang tidak sempat digunakan.

Duit tabung ini sangat perlu untuk mengelakkan terdapat ketidakadilan dalam berbelanja. Mungkin nanti terdapat akhwat yang membayar banyak untuk makanan dan terdapat akhwat yang membayar sedikit untuk makanan. Pasti, akan ada yang tidak puas hati nanti dan menimbulkan pergaduhan.

Penutup: Ada pros and cons

ada kebaikan dan ada keburukan. cuba jadikan keburukan itu satu yang positif

Duduk di rumah sewa ada pros dan cons. Mungkin jarak dengan kuliah agak jauh dan perlunya kenderaan untuk ke sana. Mungkin juga, kos yang tinggi. Mungkin juga tiada pak guard yang jaga pintu keluar masuk dan peratus kecurian tinggi.

Tapi, demi untuk dakwah dan tarbiyah, kita tidak akan kisah semua itu kerana kita tahu, Allah sentiasa melindungi hambaNya yang ikhlas dan pasti sahaja mencatat segala apa yang kita infakkan untuk dakwah. Inilah bekalan akhirat kita. Tidak perlu hendak menuding jari pada akhwat-akhwat yang belum boleh berkorban sepenuhnya, biarlah kita yang memulakannya dan diikuti oleh generasi selepasnya. 

p/s: Kepada semua akhwat, jemput datang ke rumah sewa kami.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...