i love you mum and dad kerana Allah
Dulu, saya kerap kali memberikan alasan tidak mahu berbuat sesuatu dengan erti kata taat kepada ibu bapa. Tidak kiralah samada benda itu adalah benda kurang elok atau sesuatu program ilmiah yang memaksa saya untuk keluar rumah. Mungkin kerana sudah sebati perkataan taat itu merujuk kepada ibu bapa.
Namun, setelah ditarbiyah saya faham bahawa konsep taat dan berbuat baik itu sangat berbeza. Seperti langit dan bumi. Artikel ini bukan mengajak kita semua belajar untuk menderhakai ibu bapa seperti kebanyakan orang salah anggap, tapi mengajak pembaca semua memahami hakikat taat dan berbuat baik.
" Kak, saya tak nak join usrah lagi sebab ayah tak bagi."
" Kak, mak saya tak bagi keluar ke daurah sebab bimbang keselamatan."
" Kak, parents saya macam perli-perli saya sebab saya start pakai tudung labuh."
Macam selalu dengar kan?
Taat yang tidak bertempat
Tahukah kita bahawa taat itu hanya milik Allah dan Rasul? Sepertimana yang terdapat dalam surah An-Nisa, 4:59,
" wahai orang yang beriman, taatlah Allah dan taatlah Rasul ( Muhammad), dan Ulil Amri (pemegang kekuasaan) selama dia berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah, diantara kamu, kemudian jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Al Quran dan Sunnah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian."
Dalam surah Al-Imran, 3: 31-32 juga menyatakan perkara yang sama,
" Katakanlah (Muhammad), " Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu..."
" Katakanlah (Muhammad), " Taatilah Allah dan Rasul. Jika kamu berpaling, ketahuilah Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir."
Kalau kita semak dalam Al-quran sendiri, tiada satu pun ayat yang menyuruh untuk taat kepada ibu bapa. Hanya perkataan berbuat baik sahaja digunakan.
".....dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa." ( Surah al Isra', 23)
" dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya..."
( Surah Luqman,31:14)
Kenapa?
Sebab ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah yang teratas dan tertinggi daripada ketaatan kepada yang lainnya. Meskipun ibu bapa kita tidak memberi 'lesen' untuk kita berbuat kebaikan atau datang majlis ilmu atau ke daurah, tapi 'lesen' itu telah pun terlebih dahulu dapat daripada Allah dan Rasul.
Ini bukan bermakna kita membelakangkan ibu bapa. Tapi kita cuma berbuat sesuatu yang Allah redha dan Allah perintahkan berdasarkan apa yang kita faham. Jika ibu bapa masih belum memahami sepenuhnya, kitalah berperanan memahamkan mereka. Cuma dari segi cara kita dalam memahamkan ibu bapa itu perlulah berhikmah dan penuh dengan adab serta kasih sayang. Jika kita berusaha dengan pelbagai cara, ia akan menjadi mudah dengan izin Allah. Seperti mana Allah berfirman:
" dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. dan sungguh Allah beserta orang-orang yang berbuat baik." ( Surah Al Ankabut, 29: 69)
Tegas pada prinsip
Sekarang ini dalam bab kemungkaran, ibu bapa begitu mudah membiarkan anak-anak mereka ditelenggami dengan hal-hal sebegitu. tapi, jika ia bab kebaikan dan ketaatan kepada Allah, begitu mudah ibu bapa judge anak-anak mereka mungkin sesat dan telah terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang salah.
Kita lihat sendiri, ibu bapa yang menggalakkan atau membiarkan anak mereka bercouple. Malah, dipuji-pujinya perbuatan itu. Begitu juga apabila keluar reunion, bershopping atau ke sesuatu program yang tidak dinafikan terdapat percampuran lelaki dan perempuan yang extreme. Menghairankan, ibu bapa tidak menghalang. Malah, aurat anak yang tak bertudung dan berbaju menjolok mata juga tidak dihalangnya. dan begitu juga anak-anak begitu keras dan tegas mempertahankan perbuatan mereka itu tidak salah. Maka, nak atau tak nak, ibu bapa terpaksa membiarkan sahaja perkara itu terus berlaku.
Inilah realiti sekarang. Ketegasan kepada berbuat maksiat boleh, tapi ketegasan kepada kebenaran dan ketaatan kepada Allah, mengapa tidak boleh? Padahal, jika kita para pemuda tidak bangkit sekarang, siapakah yang akan melakukan kerja dakwah dan tarbiyah ini? dan siapakah pula yang akan bertanggungjawab memenangkan islam kembali?
Ketaatan kepada Allah disini bukan merujuk kepada solat atau puasa sahaja, tapi dalam join halaqah @ majlis ilmu dan program-program bermanfaat seperti daurah, liqo negeri dan apa jua program selagi ia adalah sesuatu yang memberi manfaat kepada kita dan keluarga kita secara tak langsung.
Teringat kata-kata mak saya ketika saya meminta izin untuk keluar ke daurah di KL,
" Kalau mak halang pun, kau tetap akan keluar juga. Biarlah mak redha dengan apa-apa yang anak mak buat sebab mak tak nak anak mak pergi tanpa redha mak."
Tapi soal kemungkaran mak takkan redha ya.
Penutup: Membawa ke syurga
bahagia sampai ke syurga? semua bermula dari kita
Anak yang soleh dan solehah akan membawa ibu bapa ke syurga. setuju?
Jadi, untuk menjadi, anak yang soleh dan solehah adalah dengan mentarbiyah diri iaitu dengan cara berkumpul bersama-sama dengan orang soleh dalam halaqah ilmu.
Ikhwah wa akhawat, jika kita ditarbiyah, kita akan mampu mentarbiyah family kita juga. Tapi, jika kita tidak ditarbiyah dengan alasan halangan daripada ibu bapa, betapa beratnya dosa ibu bapa kita tanggung kerana menghalang anaknya untuk buat kebaikan dan suruhan Allah di samping betapa teruknya keadaan family kita nanti kerana tiada siapa yang mahu memperbetulkan mereka.
Kalau kita tidak beriman, bagaimana kita hendak melahirkan keluarga dan anak cucu beriman di dunia akhir zaman ini? Allah telah berjanji dalam Al-quran:
" Orang-orang yang berima, beserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan. Kami pertemukan mereka dan anak cucu mereka di dalam syurga..."
Kepada akhawat, mak ayah kita akan tumpang kegembiraan untuk anak yang solehah di akhirat nanti sepertimana dalam hadith ini, Rasulullah bersabda:
" Barangsiapa yang mengasuh 2 anak perempuan sehingga besar, nanti pada hari kiamat, aku dan dia seperti ini sambil nabi merapatkan jarinya." ( HR Bukhari dan Muslim)
Jika kita baik, maka tempiasnya akan terkena kepada keluarga kita.
p/s: ibu bapa menghalang kerana takut apa yang kita ikut sesat, maka, tunjukkan qudwah yang baik di depan mereka apabila di rumah. bukan qudwah yang sesat daripada sikap kita sendiri.