IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL

.

SELAMAT DATANG

Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.
Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.
Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.
Teruslah bertahan, hingga kefuturan itu futur menyertaimu.
Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu.”
( allahyarham KH Rahmat Abdullah )

23 Jun 2011

Akhwat selekeh?

Peringatan: Hanya untuk bacaan daripada sidang akhwat!
 
kalau seekor kucing yang tak kemas pun kita dah tak mahu dekat, apa lagi akhwat yang tak kemas..

Dari jauh, nampak seorang bertudung labuh memegang mushaf alqurannya bersama beg disandang ke belakang. Nampak seperti langkahnya cepat untuk ke kuliah. Tudungnya mengerbang ke sana ke mari. Nampak kedutan di kain tudungnya yang lansung tidak sepadan dengan baju yang dipakai. Entah berapa minggu tudung itu tidak berbasuh. Hentakannya kasar ketika menaiki tangga kuliah. Stoking hitamnya yang sudah lama tidak ditukar terselak.

Seusai habis kuliah lewat jam 4 petang. Segera dia meluru ke biliknya di aras 3. Dilemparkan beg sandangnya dan segera dia merebahkan diri ke katil yang dipenuhi baju-baju yang tidak berlipat. Penat. Di hujung katil, kelihatan bakul yang dipenuhi baju-baju yang tidak berbasuh selama 2 minggu menambahkan lagi haruman busuk di biliknya. Buku-buku pula berselerakan di atas meja. Biliknya betul-betul bersepah.

Sibuk adalah alasan utamanya apabila ditanya tentang kekemasan bilik. Pagi hingga petang ke kuliah. Selepas itu pula ziarah dan silaturrahim bersama mad’u dan akhwat. Malamnya pula kalau bukan study group atau assignment, ada halaqah atau taklim. Hampir setiap hari rutinnya sebegitu. Masa yang diperuntukkan untuk menseterika baju/ tudung, membasuh baju dan menyusun buku serta menjaga kekemasan diri seolah-olah tiada.

Inikah nilai diri bagi seseorang telah ditarbiyah sedangkan tarbiyah mengajar kita untuk menunjukkan qudwah yang baik kepada orang sekeliling?

Kekemasan diri

Adakah tugas dakwah menjadi alasan utama bagi seorang akhwat untuk tidak menjaga kekemasan diri dan sekitarnya?

Seorang akhwat perlu menjaga setiap apa yang dipakainya dan menjaga kekemasan luaran dan dalaman. Jangan kita hanya menjaga kekemasan dalaman sahaja tanpa memikirkan soal luaran. Pandangan pertama objek dakwah pada seorang da’ie adalah luarannya dan itulah perkara pertama yang membuat mereka tertarik minat pada kita.

Kekemasan luaran adalah menjaga kekemasan serta kebersihan pakaian dan bagaimana cara kita mengelolakan harta benda kita. Ia melibatkan banyak perkara namun distresskan pada sesetengah perkara khususnya seterika/ kebersihan/ kesepadanan tudung, baju dan stoking disamping kekemasan bilik.

Berapa ramaikah akhwat yang tidak basuh tudung, stoking dan handsocknya selama berminggu-minggu?

Berapa ramaikah akhwat yang malas seterika tudung dan baju kurungnya untuk keluar?

Berapa ramaikah akhwat yang memakai tudung tidak sepadan dengan warna baju?

Berapa ramai akhwat yang biliknya sentiasa bersepah apabila akhwat lain datang ziarah?

Kalau tiada, ini satu keputusan yang bagus. Namun kalau masih ada berperilaku sebegini, ayuh ubahlah diri. Kita ini akhwat. Kita mesti lagi faham dan arif soal kebersihan dan kekemasan. Jangan sampai kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Orang memandang puak yang bertudung labuh ini sebagai satu puak. Jika, salah seorang kita merosakkan imej mereka yang bertudung labuh, maka seluruhnya akan terkena.

salah faham itu bahaya

Salah faham ‘kekemasan vs tabarruj’

Mungkin ada juga yang akan beralasan, kami ini tidak mahu bertabrruj. Kami akan berkemas-kemas hanya di depan suami sahaja. Jadi, tidak ada gunanya kami berkemas-kemas apabila keluar!

Tabarruj itu terang-terangan salah. Namun menjaga kekemasan diri, pakaian dan barang peribadi itu tidak salah.

Saya faham, akhwat tidak mahu berkemas-kemas apabila keluar rumah kerana ditakuti dipandang oleh bukan mahram. Namun, perlukah sampai tidak mengambil kira soal kekemasan untuk tidak dipandang?

Adakah perlu sampai nampak selekeh di hadapan khalayak ramai? Adakah sampai tidak perlu menseterika tudung, membasuh tudung dan menukarnya mengikut kesesuaian warna, tidak mandi, tidak memakai deodorant/bedak dan sebagainya?

Janganlah begitu duhai akhwat fillah. Kita sememangnya menjaga diri kita daripada gangguan dan pandangan lelaki, namun tidaklah perlu sebegitu ekstremis. Kita mesti mengambil kira soal pandangan objek dakwah/mad’u pada kita juga. Kita perlu menunjukkan qudwah yang baik kepada mereka. Mereka itu sentiasa melihat setiap gerak geri kita dan cara kita berpakaian.

Penutup: Selekeh itu bukan akhwat

Akhwat bukan selekeh. Selekeh itu bukan sikap akhwat. Semoga kita sama-sama perbaiki diri kita. Bukan dalaman sahaja. Tapi luaran juga.

Ambillah masa untuk menseterika baju dan tudung ketika punya masa lapang seperti waktu petang atau tengah malam sebelum tidur. Halaqah atau taklim bukanlah dilakukan setiap malam. Ziarah dan silaturrahim juga tidak perlu dilakukan setiap petang. Buatlah jadual yang sesuai dengan loading kerja dakwah dan studi kita. Jika tidak sempat untuk membasuh baju, carilah hari dalam seminggu untuk membasuh baju menggunakan mesin basuh yang disediakan. Kemaslah katil, meja dan rak buku sebelum melangkahkan kaki keluar ke kuliah. Jadikanlah bilik kita sentiasa kemas semasa ketiadaan kita.

beginilah baru nampak kemas..

Semoga dengan qudwah sedikit yang kita tonjolkan ini, ramai objek dakwah di luar sana tidak ragu-ragu untuk menerima dakwah kita.

Islam itu cantik dan indah.

Janganlah merosakkan kecantikan islam hanya kerana kita tidak menjaga kekemasan diri.

Kita ini dai’e.

Seorang dai’e jika dalamannya cantik, luaran juga cantik.

p/s: Cantik bukan erti kata rupa.

16 Jun 2011

Harta Dakwah

Peringatan: Post ini umum. Ditujukan kepada semua akhwat untuk pengajaran. Saya mohon maaf jikalau post ini membuat sesetengah akhwat terasa atau berkecil hati. 

harta dakwah menyumbang kepada keberlansungan kerja dakwah

Harta dakwah adalah komponen yang sangat penting dalam mereleasasikan keberlangsungan dan keberkesanan dakwah. Ia ibarat oksigen yang sentiasa dihirup oleh nafas dakwah untuk memastikan dakwah sentiasa hidup.

Harta dakwah adalah harta kita semua duhai akhwat sekalian. Ia adalah hasil titik peluh dan jerih kita yang bersusah payah mengumpulkannya. Ia adalah aset bernilai yang perlu kita jaga sebaiknya agar dakwah tidak merudum hanya kerana kelalalaian kita dalam menjaganya.

Membantu keberlansungan program

Kereta, motorsikal, barang-barang dapur dan aktiviti adalah harta dakwah yang penting dalam menjadikan program berjalan lancar. Tanpa aset-aset ini, kita mungkin mengalami situasi yang payah dalam mengelolakan program.

Kereta dan motorsikal adalah kenderaan yang sememangnya sangat diperlukan oleh sesebuah medan untuk bergerak. Untuk follow up medan yang jauh dan untuk mengangkut akhwat atau mad’u semasa program adalah tujuan utama kenderaan menjadi harta dakwah yang bernilai. Jika tiada kenderaan, pergerakan mungkin terbatas dan terbantut. Memang tidak dinafikan, kenderaan awam telah tersedia ada. Namun, mungkin banyak masa akan dibazirkan apabila menaiki kenderaan awam yang tidak dapat dijangka kehadirannya.

Barang-barang dapur dan aktiviti juga tidak kurang bernilainya. Apatah lagi makanan adalah keperluan asas dalam program. Mana ada akhwat boleh tidur nyenyak kalau makanan tiada kecuali kalau ia benar-benar ‘daurah kebuluran’. Bahkan, seringkali juga dalam setiap program yang saya hadiri, makanannya berlebih-lebihan sehingga akhwat saling tolak-menolak untuk menghabiskan makanan di dalam talam.

Itulah jasa harta dakwah selama ini. Jika kehilangan atau kerosakan aset ini, kita terpaksa mengeluarkan sekali lagi duit untuk membeli yang baru atau membaikinya. Tiada apa yang penting melainkan menjaga sebaik mungkin ibarat nyawa sendiri.

Harta dakwah yang paling bernilai

inilah harta dakwah paling bernilai, akhwat kita!


Bukankah sebenarnya harta dakwah yang paling bernilai daripada segala-galanya adalah akhwat kita sendiri? Jika kereta, motorsikal atau barang-barang yang lain rosak, mungkin boleh dibeli dan diganti baru. Bagaimana jika akhwat kita rosak atau mengalami kecelakaan, adakah boleh kita menggantikan yang sama seperti sebelumnya?

Kerap kali berita kemalangan yang berlaku dalam kalangan akhwat kita tersebar. Jika kecederaan yang dialami tidaklah separah mana, bolehlah diterima dengan hati yang lega. Namun, bagaimana jika kemalangan yang dialami melibatkan kecederaan kekal yang tidak dapat dipulihkan kembali.

Akhwat kita adalah aset yang paling berharga dalam perjuangan dakwah ini. Jagalah diri kita dan jagalah mereka juga. Jika berlaku sesuatu pada mereka, berlaku juga sesuatu kekurangan dalam dakwah ini. Kekurangan main-power yang berkaliber.

Saya tidak tahu mengapa sudah lali telinga ini mendengar bahawa akhwat suka membawa kereta dengan kelajuan yang tinggi. Sudah-sudahlah. Segeralah insaf dan bertaubat bagi sesiapa yang suka membawa kereta laju. Jangan kerana kecuaian kita, akhwat lain yang menjadi mangsa.

Sudah 2 kali kes memandu semasa mengantuk mengakibatkan akhwat kita terjebak dalam kemalangan. Jika mengantuk, berehatlah dahulu atau tukarlah pemandu. Namun, masih ramai rupanya akhwat yang tidak mempunyai lesen. Sejak kejadian ini, saya mensarankan supaya akhwat sangat-sangatlah diwajibkan mempunyai lesen memandu tahun ini kerana ini soal keselamatan dan harta dakwah kita.

Jika ramai akhwat yang mempunyai lesen, masalah untuk bertukar-tukar pemandu tidak akan timbul. Tambahan pula, jika seorang sahaja akhwat yang mempunyai lesen, maka akhwat itu juga yang terpaksa mengambil akhwat lain dari stesen bas, mengangkut mad’u semasa program dan segala kerja yang melibatkan pemanduan kereta dialah yang menanggungnya sedangkan akhwat lain duduk goyang kaki. Masa yang sepatutnya di gunakan untuk membuat kerja lain yang lebih penting terpaksa dikorbankan kerana hanya dialah satu-satunya akhwat yang boleh memandu kereta.

Penutup -Jagalah harta dakwah

siapa lagi yang akan menjaga kalau bukan kita sendiri?


Masih ada juga akhwat kita yang tidak menjaga harta dakwah sebaiknya. Barang yang digunakan tidak diperlakukan atas tanggungjawab sendiri. Didiamkan dan dibiarkan. Walaupun itu adalah harta akhwat kita, bukan harta sendiri, jagalah sepertimana harta sendiri, maka orang lain akan menjaga barang anda seperti barang sendiri juga.

Meskipun pemilik tidak menyuarakan bil-bil kenderaan yang terpaksa ditanggung, tolonglah sukarela bertanyakan tentang perihal kenderaan tersebut. Apakah boleh dibantu atau bagaimana yang harus dibantu. Itu mungkin dapat meringankan beban akhwat tersebut.

Sekali lagi diingatkan, harta dakwah kita yang paling bernilai adalah akhwat kita. Merekalah yang menjadikan dakwah terus subur dan berkembang. Merekalah penggerak dakwah di medan kita. Merekalah yang mengerah idea untuk perancangan strategi kita. Merekalah jua menceriakan suasana hidup kita.

Tolonglah jaga harta dakwah kita!

p/s: Harta dakwah bukan soal duit sahaja, tapi soal nyawa.

2 Jun 2011

Dituduh sesat?



benarkah kita berada di jalan yang salah?

“ Kak, maaflah dengan keputusan ini. Saya mahu keluar halaqah!”

“ Erk, kenapa Akma? Bukankah Akma konsisten hadir ke halaqah?”

“ Saya dapat tahu bahawa halaqah yang saya ikut ini sesat kak. Saya rasa tidak selamat hendak mengikutinya.”

“ Siapa pula yang beritahu? Selama ini apa yang Akma belajar ada sesatkah? Akak tidak pernah rujuk buku-buku yang sesat. Semunya dirujuk daripada Al-quran  dan Hadith .”

“ Mereka tidak cakap akak sesat. Tapi, mereka kata ketua akak yang sesat!”

“ Astaghfirullah. Ini fitnah Akma.”

Tuduhan yang tidak bermoral

Isu tuduh menuduh ini memang  isu yang tidak berkesudahan. Perbuatan ini tidak lain tidak bukan hanya untuk menarik seseorang ke jemaah yang mereka ikuti atau untuk menghancurkan sesuatu jemaah islam yang kononnya tidak sefahaman dengan mereka.

Tuduhan sesat, tafsir Al-quran ikut kepala otak, tidak berdaftar, suka memaksa orang, ekstrem dan sebagainya adalah satu tindakan yang tidak bermoral. Perbuatan ini hanyalah menjauhkan seseorang daripada nilai-nilai Islam dan menjauhkan seseorang daripada kelompok orang-orang soleh.

Cara ini adalah cara kotor, busuk dan hasad dengki sesuatu kelompok semata-mata untuk menarik orang kepada jemaah mereka yang lebih dirasakan  ‘baik’, ‘bagus’ dan ‘terhebat’.

Menyelidiki kesesatan seorang Ketua

Siapakah anda yang menuduh ketua sesuatu organisasi yang melakukan amar makruf itu sesat?

Apakah tiada kerja lain yang lebih baik daripada ini?

Inikah yang dikatakan seorang pendakwah yang kononnya berjuang untuk umat?

Malulah kalian. Kalian tidak bukan hanya melenyekkan tahi ke muka sendiri !

Kalian telah menghinakan diri kalian sendiri di hadapan Allah dan orang-orang muslim!

Daripada mana sumber maklumat yang telah kalian dapati ini?

Jika seorang jundi ( askar/ anak buah) telah melakukan tugas dengan baik dan mereka telah mengikut Al-Quran dan Sunnah dalam menyampaikan dan tingkah laku mereka tidak menyeleweng daripada Islam, mengapa pula kita mahu mencari-cari kesalahan terhadap ketua mereka pula.

Seorang jundi pasti akan dibentuk hasil daripada didikan seorang ketua. Satu perkara yang mustahil terjadi jika seorang ketua sesat manakala jundi pula tidak sesat. 


Tidakkah tuduhan ini satu tuduhan membuta tuli dan dilakukan untuk kepentingan diri?


lihatlah sesuatu daripada kacamata orang berilmu

Anda si penuduhlah yang sesat, kerana menebarkan fitnah dan tuduhan palsu yang hanya untuk kepentingan diri! Mana Al-quran dan hadith yang diclaim menjadi rujukan kalian selama ini? 

Menentukan samada sesat atau tidak

Semasa anda bermusafir dan singgah di suatu masjid untuk solat fardhu, adakah anda pergi meluru di saf hadapan sekali atau menunggu imam selesai solat untuk menyoal selidik biodatanya, pengajiannya di mana dan rukun solatnya berapa, dan selepas itu baru anda akan solat bersamanya akan datang?

Tidak perlu melakukannya sebegitu namun lihatlah bilangan saf dibelakang yang dipimpinnya. Cuba lihat siapakah orang yang mengikutnya. Jika seorang itu sesat dan tidak layak dijadikan imam, sudah tentu tiada siapa yang sanggup untuk menjadi makmumnya. 


Di dalam solatnya, kita dapat perhatikan setiap bacaan dan perbuatannya tiada yang pernah bercanggah dengan sebagaimana solat yang diajarkan oleh Rasulullah itu sendiri. Maka, mengapa kita perlu sangsi dan ragu-ragu untuk mengikutinya?


Ini sama juga seperti sesuatu jemaah yang kita ikuti. Kenapa masih ragu-ragu untuk berada di saf tarbiyah yang telah kita sedia maklum mereka berpegang teguh pada dalil-dalil Al-quran dan Hadith?

Lihatlah ajaran-ajaran sesat di Malaysia yang mempunyai ritual-ritual pelik yang sememangnya langsung tidak boleh diterima akal. Hanya orang yang betul-betul jahil sahaja yang akan terpengaruh dan menerima sebulatnya tanpa merujuk dahulu Al-Quran dan Hadith.

Jadi, adakah organisasi atau jemaah yang anda ikuti sekarang mempunyai ritual-ritual pelik bercanggah dengan Al-quran dan hadith?

Penutup: Yakinlah dengan pilihan kita

Biar orang menuduh kita sesat atau apa sahaja. Asalkan kita yakin dengan jemaah yang telah kita pilih.

Usah berundur ke belakang hanya setelah mendengar kata-kata berbau sinis daripada mulut-mulut yang tidak pernah berpuas hati dan dengki.

Ingatlah, selagi mana apa yang telah diajarkan berpandukan Al-quran, Hadith dan buku-buku agama karya ustaz atau orang yang boleh dipercayai, maka, kita tidak perlu ragu-ragu.

Ragu-ragu akan adalah kunci untuk berpaling ke belakang.

Apa yang telah berlaku adalah satu ujian. Adakah kita mahu melemparkan kembali hidayah yang telah diberikan oleh Allah setelah baru satu ujian yang telah kita lalui. Ingatlah, ujian di depan akan terus datang dan sentiasa menghampiri.

Jika hanya dengan ujian ini kita sudah hancur lebur, bagaimana pula dengan ujian hebat akan datang?

Semoga terus istiqamah.

fikirlah dan buatlah keputusan dengan yakin

p/s: Buatlah tuduhan sehingga anda semua penat. Kami tetap tidak akan goyah dengan apa yang kami lakukan dan kami akan tetap meneruskan perjuangan ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...